Satu tragedi menyayat hati berlaku di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai apabila seorang murid lelaki berusia sembilan tahun dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan, Sabtu lalu.
Kejadian malang itu mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terus mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menyiasat punca sebenar.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya amat terkilan dengan insiden ini dan takziah dihulurkan kepada keluarga mangsa.
“KPM pandang serius perkara ini, ia amat mendukacitakan.
“JPNS sudah diarahkan siasat segera dan tindakan tegas akan diambil kalau ada ketidakpatuhan SOP,” katanya.
Artikel berkaitan: Berkedalaman 1.8 Meter, Murid Tahun 3 Maut Jatuh Dalam Saluran Kumbahan Di Sekolah
Artikel berkaitan: Tergelincir Jatuh Di Kawasan Air Terjun Buntong Di Perak, Remaja Lelaki Berusia 17 Tahun Maut

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin yang kebetulan hadir merasmikan satu program di sekolah berkenaan berkata, beliau sendiri sempat menyaksikan suasana cemas itu.
“Seorang murid perempuan datang beritahu ada budak jatuh dalam lubang. Saya bersama beberapa orang terus ke lokasi, tapi pada awalnya memang tak nampak apa-apa.
“Selepas turun ke bawah, barulah kelihatan topi dan kasut terapung,” katanya.
Beliau berkata, seorang penduduk akhirnya nekad menyelam ke dasar sebelum berjaya membawa keluar mangsa, yang dipercayai sudah berada hampir 10 minit di dalam lubang kumbahan berkenaan.
Difahamkan, mangsa yang juga anak kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah semasa berlangsungnya kejohanan olahraga kira-kira jam 9 pagi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad turut mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut sekitar jam 11 pagi.
Sumber: Sinar Harian