Spekulasi mengenai pelakon Emma Maembong yang dikatakan sudah berkahwin dengan seorang individu dikenali sebagai DJ Kidd nampaknya tidak benar.
Kakak kepada Emma iaitu Shikin Maembong menafikan dakwaan yang tersebar dan menegaskan adiknya pasti akan berkongsi berita sebegitu dengan ahli keluarga terlebih dahulu.
“Benda itu memang tak benar langsung sebab kita adik-beradik kalau apapun, kalau dia berkenalan dengan orang yang baru sekalipun, benda pertama dia akan kongsi dengan kami sebab kita memang sangat rapat antara satu sama lain.
“Kalau ada masalah dia akan kongsi terutamanya mengenai hari yang bahagia. Kalau hari bahagia mestilah dia akan sampaikan dekat keluarga dulu minta pendapat,” katanya.
Menurut Shikin, dia sendiri tidak mendengar sebarang berita mengenai hubungan Emma dengan mana-mana lelaki ketika ini.
Bukan itu sahaja, dia juga terkejut apabila melihat video dan gambar yang tersebar kerana tidak tahu dari mana punca gosip itu muncul.
Ditanya berkenaan ayat DJ Kidd yang yang menyebut Emma sebagai isterinya, Shikin menjelaskan tidak tahu perkara sebenar.
“Biasalah, orang kadang-kadang kawan pun, semua boleh cakap begitu tapi buktinya di mana? Kadang-kadang orang berkawan.
“Tak tahulah dia jangka macamana tapi macam manapun rasanya untuk kata bukti, tak ada. Semestinya saya akan tanya dia apabila ada perkara begini.
“Dia kata memang tak betul, memang tak ada, hanya gosip sahaja. Pada awalnya berita yang macam sebelum ini, memang kita tahu dia berkawan,” katanya.
Tiada persiapan perkahwinan
Katanya lagi, tidak wujud persiapan perkahwinan kerana Emma ketika ini sibuk dengan penggambaran.
“Mungkin itu video-video lama masa mereka berkawan. Tapi sekarang ini tak ada dengar pula dia berkawan atau tidak.
“Memang terkejut. Tapi tak tahulah pihak sana apa tujuannya, tapi sebenarnya sekarang nampak Emma sibuk dengan shooting. Tak ada pula dating dan sebagainya. Tak ada pun,” katanya.
Walaupun begitu, Shikin tetap mendoakan yang terbaik buat adiknya dan berharap Emma membuat pilihan yang membahagiakannya.
Sumber: Harian Metro