ikaSeorang peniaga ikan buntal, Choon Lee, 30 menjelaskan bahawa pihaknya akan memastikan bahawa ikan buntal yang dijual itu ‘dibersihkan’ dengan rapi . Katanya, sebelum ia dijual di pasaran, pihaknya telah pastikan ikan tersebut selamat untuk dimakan.
Memetik laporan Berita Harian, Choon Lee yang sudah menjual ikan buntal sejak setahun lalu di sebuah pasar di Muar menyatakan setakat ini pelanggannya tidak mengalami sebarang keracunan.
“Sebelum menjual ikan buntal, kami sudah bersihkan dulu dengan membuang kulit dan mencuci bahagian dalamnya serta dibungkus rapi. Kami juga mencuba dulu ikan itu bagi memastikan ia selamat dimakan.”
Bagaimanapun, Choon Lee tidak menafikan bahawa sesetengah ikan buntal memang ada risiko tinggi jika dimakan, katanya masalah boleh timbul seandainya nelayan campur aduk ikan buntal yang biasa dimakan dengan yang berisiko.
“Saya hanya menjual ikan buntal sebanyak dua hingga tiga kali setahun saja dan harganya mencecah RM15 hingga RM18 sekilogram. Saya menerima bekalan ikan buntal dari Rengit, Batu Pahat dan bekalan bukan selalu ada.”
“Ikan buntal memiliki penggemar sendiri kerana isinya sedap, sebelum menjual, kami pastikan membuang kulit dan membersihkan bahagian dalam serta dibungkus rapi.”
Mengulas tentang isu warga emas meninggal dunia selepas memakan ikan buntal, Choon Lee berpendapat bahawa mungkin racun telah merebak ke isi ikan tersebut.
“Sebagai penjual ikan buntal, saya berpendapat kejadian menimpa wanita warga emas selepas memakan ikan itu mungkin kerana bahagian perut ikan pecah dan racunnya sudah masuk ke bahagian isi.”
Jelasnya, larangan penjualan ikan buntal tidak mungkin menjejaskan pendapatan nelayan kerana ikan itu hanya dijual dengan harga RM 5 hingga RM 6 sekilogram kepada pembekal dan penjual ikan.
“Ikan buntal sedap tetapi risikonya tinggi, jadi saya menyokong jika kerajaan menetapkan larangan menjual ikan berkenaan.”
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz menyatakan bahawa keracunan akibat ikan buntal bukanlah satu perkara baharu. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Jabatan Perikanan pernah menasihati nelayan untuk tidak menjual ikan tersebut kerana ianya beracun.
“Di kawasan ini, kebiasaannya kami melepaskan semula ikan buntal ke laut ketika aktiviti penangkapan ikan kerana ia kurang digemari.”
Jelasnya lagi, sesetengah hidupan laut memang mempunyai risiko selain daripada ikan buntal. Belangkas juga perlu dibersihkan sebelum dimasak.
Baca : “Ayah tak tahu ikan itu beracun” – Warga Emas Maut Lepas Makan Ikan Buntal Goreng