Bermula tarikh 1 Jun ini, urusan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa di tiga cawangan pejabat imigresen ini akan dijalankan secara dalam talian sepenuhnya mulai 1 Jun ini. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketiga-tiga pejabat tersebut adalah Kajang, Kelana Jaya dan Wangsa Maju.
Tambah beliau, dengan perlaksanaan secara dalam talian sepenuhnya menerusi sistem MyOnline Passport, kategori permohon yang berumur antara 13 hingga 59 tahun untuk urusan pembaharuan passport tidak lagi diterima di kaunter atau secara jumpa terus di ketiga-tiga pejabat berkenaan.
Namun begitu, Saifuddin berkata pejabat imigresen lain masih menerima perkhidmatan permohonan pembaharuan passport secara kaunter.
“Ketiga-tiga pejabat cawangan ini dipilih kerana ia merupakan antara pejabat yang menjadi tumpuan di Lembah Klang dan antara pejabat yang mengeluarkan pasport yang tertinggi.”
“Pejabat-pejabat ini juga terletak di kawasan yang mempunyai liputan internet yang baik justeru tiada alasan permohonan secara dalam talian tidak dapat dilaksanakan.”
Walaubagaimanapun, ketiga-tiga pejabat itu masih lagi menerima permohonan di kaunter atau secara bersemuka bagi permohonan kanak-kanak 12 tahun ke bawah, warga emas 60 tahun ke atas, bakal jemaah haji yang meneri tawaran Tabung Haji, pelajar berumur 21 tahun ke bawah yang menerima tawaran pengajian ke luar negara, Orang Kurang Upaya dan ahli keluarga yang mengiringi pemohon kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, katanya kepada BERNAMA.
Tambahnya lagi, bagi tahun ini sehingga 12 Mei, Jabatan Imigresen Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 1.57 juta pasport dan daripada jumlah itu, sebanyak 464,725 pasport adalah daripada permohonan secara dalam talian.