Jarak usia 26 tahun tidak menjadi halangan kepada Muhammad Danial untuk menjalinkan hubungan cinta bersama bekas gurunya, Jamilah Mohd sehingga ditakdirkan menjadi pasangan suami isteri.
Kisah mereka menjadi tular selepas video yang memaparkan bagaimana Danial menjadi suami kepada Jamilah itu meraih perhatian ramai.
Menurut Danial yang bekerja di syarikat air itu, dia berkenalan dengan Jamilah ketika di tingkatan tiga iaitu pada 2016 sewaktu isterinya ditugaskan mengajar subjek Bahasa Melayu.
Danial akui hubungan mereka pada waktu itu tidak lebih daripada sekadar pelajar dan guru tanpa ada perasaan terhadap satu sama lain.
“Saya anggap dia (isteri) sebagai cikgu saja kerana sikapnya yang penyayang dan rapat dengan pelajar tidak kira daripada kelas depan mahupun belakang.”
Danial memberitahu, rasa ingin mengenali hati budi Jamilah itu mula selepas isterinya itu menghantar kiriman ucapan sempena ulang tahun kelahirannya ketika dia di tingkatan lima.
Namun, pada ketika itu, Jamilah menolak untuk menjalinkan hubungan serius dengannya kerana tidak yakin sejauh mana ia akan bertahan.
Difahamkan, dengan berkat dan restu keluarga kedua belah pihak, mereka telah sepakat untuk berkahwin pada 2019 tapi terpaksa ditangguh kepada 2020 disebabkan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada November 2021, Danial dan Jamilah bernikah di Masjid Jamek Bandar Kota Tinggi secara kecil-kecilan dengan menjemput keluarga serta kenalan terdekat sahaja.
Danial bersyukur dikurniakan jodoh pada usia yang muda walaupun mendapat pasangan yang jauh lebih berusia daripadanya.
Menurut Danial lagi, usia hanya angka dan dia akan cuba sehabis baik untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami.
Walau bagaimanapun, video yang dimuat naik oleh Danial ke TikTok itu telahpun dipadam atas sebab-sebab tertentu.
Sumber: Harian Metro
Baca : “Ada yang kami kena buang” – ‘Wedding Planner’ Sedih Pelamin Terbiar & Dilonggok Pihak Kanopi