Ikon dunia hiburan hip-hop, Snoop Dogg melancarkan sebuah album mega iaitu ALGORITHM (The Global Edition) yang merupakan lanjutan kepada album terkininya iaitu Snoop Dogg: Algorithm. Album meganya itu telah menghimpunkan hampir 50 bintang hip-hop dan R&B dari pelbagai rantau.
Tidak ketinggalan, bintang hip-hop terkenal tanah air, Joe Flizzow juga telah dipilih secara peribadi oleh Snoop Dogg sendiri untuk menjadi salah seorang artis yang sama-sama menjayakan albumnya itu.
“Saya sangat bangga dan gembira melihat bendera Malaysia terpampang pada poster rasmi album karya Snoop; Algorithm (Global Edition. Berkongsi ruang dalam lagu bersama Method Man & Redman yang diperkenalkan oleh Snoop Dogg ibarat mimpi jadi kenyataan,”- kata Joe Flizzow.
Joe juga berkata Method Man & Redman yang merupakan lagenda industri hip-hop itu adalah sebab utama dia jatuh cinta dengan muzik rap sebelum bergelar penyanyi.
“Saya rasa ini merupakan salah satu impian saya yang terkabul. Impian saya yang seterusnya adalah untuk menampilkan Snoop Dogg dalam album terbaharu saya, ‘Johan’ yang akan diterbitkan pada tahun depan,”- jelasnya.
Difahamkan, kerjasamanya dengan ikon hip-hop dunia itu pada awalnya hanya bermula dengan Zoom meeting antara Snoop dan dirinya. Setelah memainkan beberapa lagu Def Jam SEA untuk dipertimbangkan, Snoop memberitahu bahawa dia ingin menampilkan Yung Raja (penyanyi dari Singapura) dan Joe untuk albumnya itu.
“Sebenarnya, ini merupakan langkah yang besar untuk industri hip-hop tempatan dan ASEAN. Saya harap ini akan membuka lebih banyak peluang lain pada masa hadapan,”- jelas Joe Flizzow dalam satu sidang media secara online.
Snoop Dogg yang juga merupakan Penasihat Eksekutif Kreatif & Strategik DefJam Recordings memberitau albumnya itu secara peribadi sangat dekat dengan dirinya serta boleh meraikan banyak bakat merentas generasi.
“Terdapat begitu banyak bakat yang kami himpunkan dalam album ini. Ia juga ingin memberitahu bahawa tak kira macam mana cara sekalipun seseorang itu ingin menyampaikan rap, tetapi ia mestilah dapat menyentuh dan menjelaskan perasaan yang sepatutnya dirasai,”- kata Snoop.
Selain Malaysia, antara penyanyi lain yang turut menjayakan album mega ini ialah Saay (Korea Selatan), Glan Lewis (Kanada), Lani Mo (Sweden), Cory (Perancis), Mc Zaac (Brazil) serta ramai lagi.
Baca: Ada Ura-ura Bakal Jadi Juara Gegar Vaganza 8, Netizen Tak Jadi ‘Cancel’ Aliff Aziz