Nama Albert Einstein memang satu nama yang tidak asing lagi. Namun begitu, ramai yang percaya isteri pertamanya Mileva Marić merupakan penyumbang terbesar terhadap kerjayanya.
Tapi, selepas hubungan mereka mula retak, Einstein dikatakan telah berpaling tadah dan mungkin telah menafikan sumbangan wanita ini terhadap penemuan terbesarnya.
Siapa Mileva Marić?
Mileva Marić dilahirkan di Serbia pada 1875 dan merupakan seorang pelajar yang bijak dan cepat naik ke kelas atas. Malah pada tahun 1892, Mileva merupakan satu-satunya wanita yang dibenarkan untuk menghadiri kelas fizik di sekolahnya selepas bapanya membuat petisyen kepada Menteri Pendidikan untuk pengecualian.
Menurut rakan-rakan sekelas, Mileva merupakan seorang yang pendiam namun sangat pintar. Dia telah menjadi wanita kelima di Institusi Politeknik untuk belajar Fizik.
Di akhir pengajian ijazah sarjana muda pada tahun 1900, Mileva Marić telah berjaya mendapat gred yang lebih tinggi dari Albert Einstein di mana dia hanya mendapat satu markah di dalam fizik gunaan manakala Mileva berjaya mendapat lima iaitu markah paling tinggi.
Namun begitu, Mileva gagal dalam ujian lisannya apabila profesor lelakinya telah memberikan empat lelaki di dalam kelas tersebut markah 11 per 12 dan Mileva hanya mendapat 5 markah menyebabkan dia tak berjaya menamatkan pelajaran.
Walaupun Einstein berjaya mendapatkan ijazah, dia tak mempunyai pekerjaan. Pasangan ini telah membuat kajian bersama dengan harapan Mileva boleh mendapatkan ijazah dan Einstein mendapat pekerjaan.
Saya akan sangat berbangga untuk mempunyai doktor sebagai pasangan” – Einstein kepada Mileva.
Namun begitu, hanya nama Einstein diletakkan pada artikel kajian pertama yang diterbitkan.
Einstein turut memberitahu Mileva yang dia boleh kahwin dengannya apabila mendapat pekerjaan, namun keluarga lelaki ini telah menentang hubungan mereka kerana umur wanita itu yang hampir empat tahun lebih tua darinya serta tak mahu bermenantukan seorang yang tempang dan berpelajaran.
Hamil luar nikah
Pada 1901, Albert Einstein dan Mileva Marić sedang menjalankan satu projek penyelidikan tentang gerakan relatif yang kemudiannya menjadi teori khas relativiti yang menjadikan Einstein salah seorang ahli fizik paling terkenal dalam sejarah.
Namun begitu, Mileva mendapati dirinya telah hamil sehingga mengurangkan peranannya sebagai rakan penyelidik dan Einstein masih tidak mahu berkahwin dengannya sehingga dia berjaya mendapatkan pekerjaan.
Kerana terdesak Mileva telah mengambil ujian lisannya semula dan sekali lagi dia telah digagalkan oleh profesor lelaki. Wanita ini akhirnya telah berhenti belajar dan pulang ke Serbia untuk melahirkan anak. Anak tersebut, Lieserl Einstein kemudiannya telah hilang dalam rekod sejarah. Mungkin meninggal dunia atau diberikan kepada keluarga angkat.
Einstein akhirnya berjaya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat paten Swiss pada tahun 1902 dan bersetuju untuk berkahwin dengan Mileva pada tahun berikutnya.
Diantara 1904 dan 1910, Mileva telah melahirkan dua anak lelaki yang diberikan nama Hans Albert dan Eduard. Sepanjang tempoh ini, dia telah bekerja di sisi suaminya membuat penyelidikan dan menerbitkan sebanyak lima artikel pada 1905 yang dipanggil sebagai “tahun ajaib” untuknya.
Disebalik tabir, Mileva Marić telah membuat pengiraan dan berhujah teori dan bila suaminya ini mula mengajar di Zurich, Mileva telah menyediakan nota-nota ceramahnya. Ketika ahli fizik Max Planck mempunyai soalan juga wanita ini telah menjawab soalan fiziknya itu.
Apabila Einstein semakin popular, Mileva pernah meluahkan kepada rakannya berharap agak kemahsyuran tersebut tidak akan memberikan kesan yang buruk terhadap sikap kemanusiaannya.
Kehidupan sebagai isteri Albert Einstein
Pada tahun 1912, Einstein telah pun mula berputus asa dengan perkahwinannya ini. Dia telah membuat hubungan sulit dengan sepupunya sendiri Elsa Einstein Lowenthal yang dikahwininya kemudian.
Ketika menulis surat kepada kekasihnya ini, Einstein telah memanggil Mileva sebagai seorang yang tak ramah dan tak reti berjenaka.
Aku layan isteri aku hanya sebagai pekerja yang aku tak boleh nak pecat. Aku ada bilik tidur sendiri dan elak berdua-duaan dengan dia.”
Einstein dan Mileva pernah berbincang untuk berpisah, dengan perkahwinan mereka yang retak menanti belah, Einstein telah mencadangkan kompromi pada tahun 1914 di mana dia akan meneruskan perkahwinannya jika isterinya itu setuju dengan syarat-syaratnya iaitu:
- Kau perlu pastikan pakaian dan barang-barang aku disimpan dalam keadaan tersusun
- Makanan disediakan sebanyak tiga kali sehari di dalam bilik aku
- Tiada hubungan peribadi dengan aku kecuali diperlukan untuk penampilan sosial
- Jangan harap kasih sayang dari aku dan kau perlu tinggalkan bilik tidur atau bilik belajar aku bila disuruh tanpa membantah
Namun begitu, pasangan ini akhirnya bercerai pada tahun 1919, namun di dalam dokumen penceraian Mileva bertegas yang dia akan dapat wang sekiranya Einstein berjaya mendapat Anugerah Nobel.
Enam tahun kemudian, Einstein cuba untuk memungkiri janjinya namun dibantah oleh Mileva dengan memberi hint bahawa dia boleh buktikan sumbangannya dalam penyelidikan bekas suaminya itu. Einstein kemudiannya menulis surat meminta bekas isterinya itu untuk tidak lagi bercakap dengannya.
Kematian Mileva Marić
Berpuluh tahun selepas bercerai, Mileva telah berjuang untuk menanggung dirinya walaupun pada akhirnya Einstein menepati janji untuk memberikan duit Anugerah Nobel yang diterimanya berjumlah lebih kurang US$500,000 mengikut kadar duit sekarang.
Ketika tahun-tahun akhir kehidupannya, Mileva telah menghabiskan masanya dengan menjaga anaknya Eduard yang mengalami skizofrenia. Selepas kematian Mileva, Eduard telah dibiarkan bersendirian di dalam hospital mental dan bapanya tak pernah menjenguknya selama lebih 30 tahun.
Mileva merupakan penyebab Einstein dapat menjadi ahli fizik terkenal dengan mengabaikan impiannya untuk menjadi seorang saintis. Namun apabila lelaki ini dah tawar hati, dia diketepikan.
Walaupun Mileva tak pernah mendapat kredit yang sepatutnya ketika dia hidup, selepas dia mati ilmuan telah mengatakan bahawa isteri pertama Einstein ini merupakan penyumbang kritikal kepada legasinya sebagai seorang saintis.
Sumber: ati
Baca: 6 Saintis Wanita Ini Berjaya Cipta Sejarah Tapi Tak Dapat Apa-apa Penghargaan