Ibu kepada pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, merayu kepada pihak berkuasa dalam memastikan kebenaran berhubung kematian anaknya itu berjaya dirungkaikan sepenuhnya.
Selepas kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) baru-baru ini, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 46, menuntut siasatan telus dan menyeluruh dijalankan.
“Pandanglah kes anak saya dengan mata hati dan siasat dengan penuh ketelusan.
“Saya rasa di sebalik kematian anak saya, bukan hanya satu jenayah, mesti ada jenayah lain yang berselindung dalam kes ini.
“Sabagai ibu secara peribadi, memohon dan merayu sangat-sangat kepada pihak berkuasa ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Artikel berkaitan: Kematian Kadet Palapes Diklasifikasi Sebagai Kes B*nuh, UTM Akan Beri Kerjasama Penuh Untuk Siasatan
Artikel berkaitan: Proses Bedah Siasat Kedua Pelatih PALAPES Temui Kecederaan Trauma Mencurigakan Pada Jasad Arwah Syamsul Haris
Ummu Haiman berharap pelaku yang menyebabkan kematian tragis anaknya itu dibawa ke muka pengadilan supaya dikenakan hukuman setimpal.
Katanya lagi, perkembangan terbaharu mengenai kes kematian anaknya seakan mengesahkan apa yang dirasakan sejak hari pertama melihat jenazah Allahyarham di unit forensik.
Pada 2 Disember lalu, AGC mengarahkan kes kematian Allahyarham Syamsul Haris diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Keputusan itu dibuat AGC berpandukan laporan siasatan yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas kematian pelatih berkenaan.
Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan mengalami sawan sebelum meninggal dunia dan kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Kosmo!
