Selain daripada penghawa dingin dan peti sejuk, Ketua Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor, Ismail Lathifi Teh berkata penapis air juga antara penyumbang utama bil eletrik meningkat
Ini kerana mesin penapis air mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk dan ia menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk mengekalkan suhu berkenaan terutamanya ketika cuaca panas yang sedang melanda negara sekarang.
Pada cuaca panas seperti sekarang ini, mesin yang mempunyai kompresor akan menggunakan tenaga yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu.”
Oleh sebab itu, lebih kerap kita membuka pintu peti sejuk dan lebih kerap kita mengambil air sejuk daripada penapis air di rumah, lagi banyak tenaga elektrik yang akan digunakan oleh peralatan berkenaan bagi mengekalkan suhu sejuk, lapor Bernama.
Ismail Lathifi memberi contoh, jika tangki penapis minuman yang menyimpan air sejuk habis ia akan diisi dengan air yang baharu dan kompresor akan berfungsi untuk menyejukkan air berkenaan.
Katanya lagi, jika lebih banyak isian semula berlaku, lebih kerap kompresor berkenaan berfungsi dan ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik.
Dalam pada itu, pengguna dinasihatkan agar menetapkan pemasa pada alat penyaman udara masing-masing selain menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celsius sahaja bagi menjimatkan penggunaan elektrik, katanya.
“Pengguna digalakkan menggunakan pemasa yang ada pada penyaman udara masing-masing dan menetapkan agar ia ditutup pada awal pagi kira-kira jam 2 pagi dan ke atas kerana ketika itu cuaca mulai sejuk dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk di dalam rumah,”
Beliau juga turut menyarankan pengguna agar melakukan servis terhadap penyaman udara secara berkala agar ia dapat berfungsi dengan lebih efisien dan jimat.