Keselamatan diri amat penting dan harus dititik beratkan kerana kejadian yang tidak diingini atau jenayah boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana jua.
Malang tidak berbau, tular sebuah video apabila seorang lelaki dikerumuni enam orang individu dan dipukul serta disamun ketika berhenti di lampu isyarat.
https://twitter.com/redzuanNewsMPB/status/1511283273023979520?t=IpkXys3mAlVHim8lpqroRg&s=19
Menurut sumber di Twitter, kejadian ngeri itu berlaku di Persiaran Setia Dagang U13, Setia Alam ketika awal pagi Ahad lalu.
Dalam laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata insiden berlaku kira-kira jam 4.30 pagi ketika mangsa berusia 26 tahun yang dikatakan dalam perjalanan menghantar barang ke rumah rakan, sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
“Mangsa yang bekerja sebagai pemandu peribadi kemudian dikata memaklumkan kepada isterinya berhubung kejadian itu, sebelum laporan polis dibuat.
Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami lebam di bahagian mata dan pipi serta luka pada tangan kanan dan kiri, dipercayai akibat dipukul dengan tangan dan topi keledar oleh suspek.”
Difahamkan, mangsa turut mengalami kerugian apabila telefon bimbitnya, dompet mengandungi dokumen penting serta wang dan motosikal didakwa dilarikan kumpulan penyamun tersebut.
Selain itu, Mohd Iqbal juga berkata kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan beliau meminta, sesiapa yang ada maklumat lanjut boleh hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saiedayu melalui talian 03-55202222.
Baca: Gadis Terpaksa Lompat Keluar Kereta Lepas Dicabul, Disamun Pemandu E-Hailing