Baru-baru ini, seorang pelancong asing meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa dirinya dilarang untuk merakam suasana di dalam Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
Menerusi video yang dimuat naik di laman TikToknya, dia memaparkan suasana keindahan masjid sambil memuji seni bina masjid berkenaan.
Dalam rakaman itu, katanya reka bentuk masjid berkenaan tidak seperti masjid yang biasa dia lihat kerana ada pengaruh seni bina kolonial yang menonjolkan ciri klasik Eropah.
Namun, secara tiba-tiba dia ditegur dan diminta untuk berhenti merakam oleh seorang individu yang dipercayai sukarelawan masjid ketika dia memasuki ruangan dalam masjid berkenaan.
Individu berkenaan mengatakan pelancong itu dilarang merakam video kerana itu adalah peraturan masjid di situ.
“Kenapa tidak boleh? Saya mahu tunjuk kepada keluarga saya dan Muslim yang lain,” soal pelancong itu.
“Tidak boleh. Ini peraturan masjid,” kata individu yang menegurnya.
@myertravels This happened to me in Johor Bahru, Malaysia 🇲🇾 #malaysia #malaysiatiktok #malaysian #johorbahru #traveltiktok
Menurut pelancong itu, teguran yang dilakukan oleh individu berkenaan dianggap kasar memandangkan dia tidak mendapat penjelasan lanjut tentang larangan itu selain mendakwa tidak nampak papan tanda mengenai peraturan tersebut di kawasan masjid.
Insiden itu telah mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen mengenai etika rakaman serta peraturan yang ditetapkan di kawasan masjid.

Artikel berkaitan: “Kaabah tempat rendahkan hati, bukan menunjuk” – Isu ‘Gender Reveal’ Depan Kaabah, Ini Ulasan JAKIM
Artikel berkaitan: “Ada yang melabur jutaan ringgit” – Terdapat Madrasah Di Kelantan Mungkin Jadi Lokasi Ubah Wang Haram
“Tak halang aktiviti penggambaran tapi…”
Susulan isu itu, pihak Masjid Sultan Abu Bakar tampil memberi penjelasan mengenai insiden terbabit.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pihak masjid tidak menolak kehadiran mana-mana pihak serta tidak menghalang aktiviti penggambaran di kawasan masjid.
Bagaimanapun, aktiviti penggambaran atau rakaman video untuk siaran awam perlu mengikut Garis Panduan Aktiviti Penggambaran di Masjid dan Surau Negeri Johor Tahun 2020 yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Mana-mana individu atau pihak yang berhasrat untuk melaksanakan aktiviti penggambaran hendaklah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu melalui saluran yang ditetapkan.
“Tindakan merakam dan menularkan kandungan tanpa kebenaran, termasuk rakaman terhadap individu lain tanpa kebenaran di dalam masjid adalah tidak wajar dan bertentangan dengan adab, etika serta peraturan yang berkuat kuasa.”

Sumber: Facebook
