Gegaran dan bunyi dentuman kuat yang mengejutkan penduduk di Ipoh, Perak pada Isnin lalu masih kekal misteri apabila punca sebenar kejadian masih belum dapat kenal pasti.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, buat masa ini, pihaknya masih belum dapat mengesahkan punca sebenar kejadian itu.
“Kenyataan rasmi sudah dikeluarkan sebelum ini, namun perkara itu masih kekal misteri,” katanya.
Polis teruskan siasatan jika ada bukti baharu
Sementara itu, Polis Perak memaklumkan akan meneruskan siasatan berhubung insiden tersebut jika terdapat bukti baharu.
“Kita tolak berdasarkan hujah dikemukakan oleh pakar-pakar berkaitan selain tiada bukti dalam radar kita yang mengesan punca itu adalah disebabkan oleh gempa bumi, ledakan sonik mahu pun aktiviti kuari.
“Cuma ia masih misteri, namun kita akan teruskan siasatan sekiranya ada penunjuk atau bukti yang boleh dikaitkan dengan insiden gegaran itu,” kata Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris.
Artikel berkaitan: Kecoh Gegaran & Bunyi Dentuman Di Ipoh, Pakar Dakwa Mungkin Ada Kaitan Ledakan Sonik
Artikel berkaitan: Gegaran Di Ipoh: Ketua Polis Perak Sahkan Tiada Latihan Berkaitan Letupan
Pada 21 Oktober, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput kira-kira 11.06 pagi yang disusuli dengan bunyi dentuman kuat.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak Nizarulikram Abdul Rahim berkata kejadian itu merupakan insiden ketiga selepas kali pertama berlaku pada Jun 2012 dan 4 Oktober 2018 dengan kesemuanya terjadi sekitar 11 pagi selain puncanya masih menjadi misteri.
Dalam pada itu, polis juga menyatakan pihaknya serta bomba dan RELA tidak menerima sebarang laporan berhubung kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa yang berlaku disebabkan insiden berkenaan.
Sumber: Astro Awani, Kosmo!