in

Mary Bell: Kanak-kanak Jadi Pembunuh Bersiri Pada Usia 11 Tahun, Ini Kisahnya…

collage 17

Bila kita tengok kanak-kanak, kita mesti fikir yang dorang ni innocent kan? Nakal-nakal sikit tu biasalah nama pun budak-budak.

Tapi, korang boleh tak bayangkan macam mana seorang kanak-kanak perempuan yang baru berusia 11 tahun boleh menjadi pembunuh bersiri?

Artikel kali ini akan menceritakan tentang seorang pembunuh bersiri yang  dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada usia 11 tahun serta apa faktor yang mendorong kanak-kanak perempuan ini sehingga dia menjadi seorang pembunuh yang kejam? Jom baca!

Kehidupan awal pembunuh kanak-kanak Mary Bell

mary bell 768x952 1

Mary Bell telah dilahirkan pada 26 Mei 1957 oleh seorang pelacur Betty McCrickett yang ketika itu baru berusia 16 tahun. Betty pernah memberitahu doktor untuk menjauhkan bayinya itu darinya bila dia pertama kali melihat anak perempuannya.

Sebagai seorang ibu dan pekerja seks, Betty selalu tak ada di rumah kerana sibuk dengan “pekerjaannya”. Namun bila dia ada di rumah, Mary Bell telah didera secara mental dan fizikal oleh ibunya.

Kakak Betty pernah menyelamatkan Mary dari diberikan kepada seorang wanita untuk dibuat anak angkat dan sebagai seorang kanak-kanak, Mary sering terlibat dalam kemalangan. Pernah sekali, dia telah terjatuh dari tingkap rumahnya dan secara tak sengaja tertelan pil tidur sehingga overdose.

Ada yang mengatakan kemalangan-kemalangan ini berlaku kerana Betty cuba untuk hilangkan “bebanan” yang perlu ditanggung. Namun ada juga yang melihat perkara ini sebagai Munchausen syndrome by proxy, di mana Betty mahukan perhatian dan simpati melalui kemalangan yang menimpa anaknya.

Bagaimanapun, Mary pernah memberitahu bahawa ibunya itu telah melacurkan dia seawal usianya empat tahun. Selain itu, kanak-kanak ini juga pernah melihat macam mana kawan baiknya yang baru berusia 5 tahun telah dilanggar oleh bas di depan matanya.

Ekoran terlalu banyak kejadian yang memberikan trauma terhadap seorang kanak-kanak, tak hairanlah di usia Mary 10 tahun, dia mula menjadi seorang kanak-kanak yang pelik dan manipulatif serta turut menunjukkan sifat-sifat kejam.

Obsesi Mary Bell terhadap kematian

child killer playing flute

Beberapa minggu sebelum membuat pembunuhan pertamanya, Mary Bell telah mula berkelakuan pelik. Pada 11 Mei, 1968, Mary bermain dengan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan tiba-tiba budak ini telah mengalami kecederaan teruk kerana terjatuh dari bumbung.

Keesokan harinya, tiga orang ibu telah membuat laporan polis mengatakan bahawa Mary telah mencuba untuk mencekik anak-anak mereka. Pihak polis telah datang dan menyoal Mary serta menasihati kanak-kanak ini namun tiada tindakan lanjut diambil keatasnya.

Kemudian pada 25 Mei, sehari sebelum hari lahir Mary yang ke-11, dia telah mencekik seorang kanak-kanak lelaki, Martin Brown yang berusia empat tahun sehingga maut di sebuah rumah tinggal di Scotswood, England.

Mary telah meninggalkan tempat kejadian dan kembali semula ke sana bersama seorang rakannya Norma Bell. Namun apabila mereka tiba di sana, dua budak lelaki yang bermain di dalam rumah tersebut telah pun menemui mayat Martin Brown.

Penemuan ini telah menyebabkan polis tertanya-tanya punca kejadian. Selain sedikit darah dan air liur pada muka mangsa, tak ada tanda-tanda lain yang menunjukkan berlakunya keganasan ke atas kanak-kanak lelaki ini.

Namun begitu, berdekatan dengan mayat mangsa, polis menemui satu botol ubat tahan sakit yang dah kosong. Tanpa membuat siasatan mendalam, pihak polis menganggap Martin Brown telah menelan pil-pil tersebut dan kematiannya dianggap sebagai satu kemalangan.

Beberapa hari selepas kematian Martin, Mary Bell telah datang ke rumah mangsanya itu dan meminta untuk berjumpa dengan Martin. Namun ibunya telah menerangkan kepada Mary tentang kematian anak lelakinya. Mary memberitahu bahawa dia dah tahu mengenai perkara tersebut, tapi dia datang sebab nak tengok mayat Martin di dalam keranda. Ibu Martin yang terkejut dengan permintaan tersebut telah menghempas pintu rumahnya di muka Mary.

Tak lama selepas itu, Mary dan Norma telah memecah masuk ke dalam taska dan mula menconteng dinding di sana dengan nota mengatakan yang dia bertanggungjawab atas kematian Martin Brown dan berjanji akan membunuh kembali.

mary flora bell notes 1

Polis yang menyiasat kejadian ini menganggap perbuatan tersebut hanyalah sebagai satu prank. 

Beberapa malam kemudian, Mary dan Norma telah ditangkap di depan taska tersebut, tapi disebabkan mereka hanya merayau-rayau di luar ketika pihak polis tiba, kedua-dua mereka dilepaskan dan disuruh pulang ke rumah.

Sementara itu, Mary telah memberitahu rakan-rakannya yang dia merupakan pembunuh Martin Brown. Ekoran reputasi Mary sebagai seorang yang suka menipu dan menunjuk-nunjuk, kebanyakan rakannya menganggap Mary hanya bermain-main sehinggalah seorang lagi kanak-kanak lelaki telah ditemui mati.

Pembunuhan kedua 

Pada 31 Julai, dua bulan selepas pembunuhan pertamanya, Mary Bell dan Norma telah membunuh Brian Howe yang berusia tiga tahun dengan mencekiknya. Cuma kali ini, Mary telah mencacatkan badan kanak-kanak ini menggunakan gunting, mencakar pehanya dan memotong alat sulit.

Apabila kakak Brian cuba untuk mencarinya, Mary dan Norma telah berpura-pura untuk membantu dan sama-sama mencari Brian di kawasan perumahan mereka. Malah Mary sempat tunjuk tempat dia sorokkan mayat mangsanya itu namun Norma mengatakan yang dia takkan ada dekat situ dan teruskan pencarian di tempat lain.

Apabila mayat Brian ditemui, kejiranan di sana mula panik. Sekarang, dua kanak-kanak lelaki telah mati. Pihak polis telah menyoal kanak-kanak di sana dengan harapan seseorang ada melihat sesuatu.

Ketika laporan bedah siasat dikeluarkan, pihak polis terkejut kerana di dada Brian terdapat huruf ‘M’ yang diukir menggunakan pisau cukur. Selain itu, laporan turut mendedahkan bahawa pembunuhnya mungkin seorang kanak-kanak ekoran tekanan yang tak kuat telah digunakan untuk mencekik Brian.

Ketika disoal oleh pihak polis, Mary dan Norma telah menunjukkan tindak tanduk yang mencurigakan. Norma nampak teruja manakala Mary banyak mengelak, lebih-lebih lagi bila polis mengatakan yang mereka telah dilihat ada bersama Brian ketika hari kematiannya.

Pada hari pengebumian Brian, Mary dilihat telah mengintai di luar rumah dan sempat gelak sambil mengosok-gosok tangannya ketika melihat keranda Brian.

Mary telah dipanggil semula untuk disoal siasat, ketika ini Mary merasakan yang pihak polis mula mengesyakinya. Disebabkan ini, Mary mula membuat cerita mengatakan dia telah melihat seorang budak lelaki berusia lapan tahun memukul Brian pada hari kematiannya. Dia turut mengatakan budak lelaki itu telah membawa gunting patah bersamanya.

Pendedahan Mary ini merupakan kesalahan terbesarnya kerana pihak polis telah menyembunyikan kesan gunting pada badan Brian daripada media dan orang awam. Ia hanya diketahui oleh pihak polis dan pembunuh Brian.

Apabila diasak dengan soalan, Mary dan Norma mula mengalah. Norma mula bekerjasama dengan pihak polis dan memberitahu mereka tentang perbuatan Mary.

Mary pula mengaku ada di tempat kejadian ketika pembunuhan Brian Howe namun cuba meletakkan kesalahan tersebut ke atas Norma.

Kedua-dua kanak-kanak ini telah didakwa dan tarikh perbicaraan telah ditetapkan.

Perbicaraan Mary Bell dan Norma Bell

mary bell mugshot

Ketika perbicaraan, pihak pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa tujuan Mary melakukan jenayah ini kerana rasa terujanya untuk membunuh manakala pihak media pula merujuk Mary sebagai kanak-kanak yang dilahirkan jahat.

Barisan juri sebulat suara bersutuju mengatakan bahawa Mary bersalah melakukan pembunuhan-pembunuhan tersebut. Namun begitu, dia disabitkan atas kesalahan membunuh tanpa niat kerana pakar jiwa meyakinkan juri bahawa Mary menunjukkan simptom-simptom klasik seorang psikopat.

Norma pula dianggap sebagai bersubahat tanpa rela kerana pengaruh buruk rakan. Dia telah dibebaskan.

Hakim pula menganggap Mary sebagai orang yang bahaya dan merupakan satu ancaman terhadap kanak-kanak lain. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

0 British Crime Murder Mary Bell 1975.jpg

Namun begitu, selepas 12 tahun menjalani rawatan dan pemulihan jiwa, pihak berkuasa kagum dengan perkembangan Mary dan dia dibenarkan keluar pada tahun 1980 ketika dia berusia 23 tahun.

Mary dibebaskan dengan lesen, ini bermakna, dia sebenarnya masih menjalankan hukumannya tapi dibenarkan untuk hidup bersama komuniti di bawah pengawasan yang ketat.

Mary Bell telah diberikan identiti baru untuk mendapat peluang menjalani kehidupan baru dan menjauhkan diri dari perhatian media. Namun begitu dia masih diganggu oleh pihak media dan orang awam yang dapat menjejakinya.

Kehidupan Mary tambah terganggu selepas dia mendapat anak pada tahun 1984. Anak perempuannya ini tak tahu tentang sejarah ibunya dan hanya mengetahuinya ketika dia berusia 14 tahun melalui akhbar tabloid.

Tak lama kemudian, wartawan mula mengelilingi rumah Mary dan berkhemah di sana sehingga keluarga ini perlu lari dari rumah dan menutup muka menggunakan cadar.

Kini, Mary dan anaknya diberikan perlindungan di satu alamat rahsia dan kedua-duanya kekal tak dikenali dan dilindungi di bawah perintah mahkamah.

Ada yang merasakan Mary tak layak mendapat perlindungan ini, antaranya adalah ibu Martin Brown yang memberitahu media:

Semua pasal dia dan macam mana dia harus dilindungi. Sebagai mangsa, kami tak menerima hak yang sama macam pembunuh.”

Perlindungan yang diberikan ke atas Mary Bell ini diteruskan sehingga hari ini oleh kerajaan British sehinggakan perintah mahkamah untuk melindungi identiti banduan telah dinamakan sebagai “Perintah Mary Bell”.

Sumber: ati

 

Baca: James Bulger: Budak 2 Tahun Diculik & Dibunuh Dua Kanak-kanak Umur 10 Tahun, Ramai Saksi Tapi…

collage 2 758x399.png 2