Kelab bola sepak Itali, Juventus ditolak 15 mata untuk musim semasa yang sedang berlangsung. Keputusan itu dibuat oleh mahkamah bola sepak Itali yang menyiasat urusan perpindahan pemain melibatkan kelab itu.
Dengan baki 20 perlawanan lagi untuk dimainkan pada musim ini, Juventus berada di tangga ketiga Serie A, 10 mata di belakang pendahulu Napoli.
Potongan mata akan menyebabkan mereka turun ke kedudukan pertengahan liga sekaligus berada di luar tempat untuk merebut slot pertandingan peringkat Eropah.
Memetik laporan Daily Mail UK, pendakwa kes mendakwa bahawa kelab itu telah menyalahgambarkan kerugian dalam tempoh antara 2018 dan 2020, terutamanya mengenai jumlah yang dikaitkan dengan penjualan pemain.
Juventus telah menafikan salah laku dan berkata urusan perakaunan mereka selaras dengan piawaian standard industri.

Mahkamah bola sepak juga memutuskan bahawa bekas pengerusi Juventus, Andrea Agnelli dilarang daripada memegang jawatan dalam bola sepak Itali selama 24 bulan.
Mereka juga memutuskan larangan 30 bulan untuk bekas pengarah sukan Juventus, Fabio Paratici yang kini adalah pengarah urusan bola sepak di kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspurs.

Larangan itu bagaimanapun pada masa ini tidak melarang Paratici daripada bekerja di luar Itali, namun, badan induk bola sepak dunia, FIFA dan badan induk bola sepak Eropah, UEFA akan diminta untuk mengekalkan ketetapan untuk pertandingan yang dianjurkan mereka.
Baca: Shakira Kantoikan Suaminya Hanya Dengan Jem Strawberi!