Seorang lelaki dan wanita ditemukan maut dengan kesan tikaman dipercayai dibunuh di Taman Nona, Guar Chempedak, dekat Yan malam tadi.
Menurut laporan, polis menerima maklumat kejadian itu kira-kira jam 9.40 malam yang mana mangsa seorang lelaki berumur 30 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun ditemui mati dengan kesan kecederaan pada badan.
“Wanita itu ditemui di tempat duduk hadapan penumpang kereta Proton Wira yang berada di hadapan sebuah rumah, manakala lelaki terbabit ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan,” kata Ketua Polis Daerah Yan Supt Mohamad Hamizi Abdullah.
Artikel berkaitan: Mangsa T*kam Depan Rumah Di Senawang Ada Hubungan Sulit Dengan Isteri Suspek – Polis
Artikel berkaitan: Lelaki P*kul & Ugut T*kam Gara-gara Anak Tiri Tak ‘Restu’ Perkahwinan Dengan Ibunya
Dengar mangsa jerit minta tolong
Seorang penduduk di kawasan perumahan di situ, Fathi Kamil Khazali berkata, isterinya ternampak ada dua orang bergelut sebelum salah seorang daripadanya menjerit meminta tolong.
“Saya terkejut dengar isteri menjerit… ‘Abang, ada orang kena tikam’ dan kejadian berlaku kira-kira 20 meter di hadapan rumah kami.
“Saya suruh isteri masuk ke dalam rumah dan ketika itu ternampak seorang lelaki rebah di atas jalan dan seorang individu beredar dari situ dengan menaiki sebuah kereta,” katanya.
Menurut Fathi Kamil, dia kemudian pergi ke lokasi kejadian dan mendapati lelaki terbabit sudah tidak bergerak.
Katanya, dia tidak mengenali lelaki dan wanita itu malah tidak pernah melihat mereka sebelum ini.
“Saya pergi ke kereta Proton Wira itu yang diparkir di hadapan sebuah rumah penduduk di situ dan terkejut sebaik mendapati ada seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk penumpang hadapan.
“Keadaan wanita itu mengiring ke sebelah tempat duduk pemandu tetapi saya tak nampak dengan jelas kecederaan kerana hanya tengok dari luar dan ketika itu hujan lebat,” katanya.
Bapa mangsa lelaki dakwa anak minta keluar sekejap
Bapa kepada mangsa lelaki yang sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya memaklumkan anaknya itu baru saja pulang ke rumah sebelum meminta izin untuk keluar semula.
Menurutnya, anaknya berkemungkinan hendak menghantar telefon bimbit dipesan pelanggannya.
Difahamkan, mangsa membuka kedai membaiki dan menjual telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar.
Setakat ini, polis memaklumkan siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro, (2)