in

Mangsa Banjir Rantau Panjang: Ibu Pula Menyusul ‘Pergi’ Selepas Anak Meninggal Akibat Sawan

Ibu Meninggal Dunia Selepas Anak Meninggal Banjir

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang meninggal dunia selepas ditemukan tertiarap di rumahnya di Kampung Gual To’Deh, Rantau Panjang yang sedang dilanda banjir, meninggal dunia.

Memetik laporan Harian Metro, Yusnieta Mohd Lawi, 40, disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II sekitar jam 6.30 pagi tadi selepas anaknya, Nur Iezarra Abd Talib menghembuskan nafas terakhir kelmarin akibat sawan.


Keadaan tidak stabil selepas terkena serangan angin ahmar

Difahamkan keadaan Yusnieta memang tidak berapa stabil dipercayai diserang angin ahmar sejak dia dibawa ke hospital tempoh hari.

Menurut adik iparnya Norshazlina, hanya suami dan anak sulung arwah sahaja berada di hospital memandangkan ahli keluarga yang lain terperangkap disebabkan banjir.

Screenshot 2024 12 03 102104

“Hanya suami arwah, Abd Talib Abdullah, 42, bersama Muhammad Denish berada di hospital kerana keluarga lain terperangkap banjir untuk ke sana sehingga petang semalam, apabila air di jalan utama mulai surut kami melawatnya di HRPZ II, Kota Bharu.

“Luluh hati kami kerana kehilangan dua ahli keluarga serentak dan kami semua masih terkejut dengan apa yang terjadi, tambahan pula arwah Nur Iezarra adalah anak yang sangat baik begitu juga dengan Yusnieta yang sentiasa membantu keluarga,” katanya.

Jelasnya lagi, mereka masih bingung dengan apa yang berlaku kerana pemergian dua insan rapat secara serentak walaupun sebelum ini Nur Iezarra pernah diserang sawan dan Yusnieta juga mempunyai beberapa penyakit kronik seperti darah tinggi serta kencing manis.

“Kami reda dengan ujian ini dan berdoa semoga anak-anak arwah serta suaminya kuat menghadapi dugaan ini. Pemergian dua orang tersayang sekali gus bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dihadapi.

“Alhamdulillah banjir di kawasan penempatan kami semakin pulih dan akan memudahkan urusan membawa pulang jenazah seterusnya proses pengebumian,” katanya.

Buletin Tv3 N 2024 12 01T222605.998

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja melalui detik cemas apabila mendapati adiknya tidak sedarkan diri di kediaman mereka yang dilanda banjir dan ibunya diserang angin ahmar susulan tangan kiri tidak dapat digerakkan.

Dia segera memaklumkan kepada bapa bagi mendapatkan bantuan dari penduduk kampung agar memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk membawa kedua-duanya ke hospital dalam kadar segera.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.