Bagi kanak-kanak berumur 13 tahun, mereka biasanya menghabiskan masa hujung minggu dengan bermain dengan kawan-kawan lain atau keluar berjalan bersama keluarga.
Namun, bagi Reymark Cavesirano hujung minggu adalah masa untuk dia keluar mencari duit lebih bagi membantu atuk dan nenek yang membesarkannya.
Sebelum matahari terbit lagi, Reymark akan memulakan perjalanannya dari Manila Bay dengan rakit diperbuat dari kayu terbuang dan beberapa keping styrofoam dan menggunakan tangan sendiri sebagai dayung merentasi lautan selama beberapa jam untuk ke bot menangkap ikan, tempat dia bekerja.
Di situ, dia bersama beberapa pemuda berusia dua kali ganda umurnya akan membantu nelayan mengutip ikan-ikan kecil yang tersangkut pada jala. Ikan-ikan kecil ini merupakan upahnya. Dia akan mengumpul ikan-ikan kecil ini dan dayung semula rakit usangnya menuju ke darat untuk menjual hasil kutipannya.
“Badan saya selalu sakit-sakit kerana mengayuh tapi saya tak boleh berhenti. Saya perlu teruskan kerana kami perlu makan.”
Duit hasil jualan, dia gunakan untuk membeli makanan dan ubat untuk keluarganya. Allahu, kecik-kecik dah pandai pikul tanggungjawab.
Tambah menyedihkan, budak lelaki ini tinggal bersama atuk dan neneknya di sebuah pondok usang yang hanya diperbuat daripada buluh dan lapisan plastik.
Nenek budak ini, Remedios Santos mengatakan dia tak benarkan cucu kesayangannya bekerja kerana bimbang jika apa-apa berlaku pada cucunya semasa berakit di laut. Tapi…
“Saya beritahu dia ia bahaya. Tapi dia cakap ‘Mama, orang lain tak kan tolong kita untuk hidup. Jadi, saya akan tolong’.”
Jika harinya baik, Reymark boleh bawa pulang sekilo beras cukup untuk keluarganya makan sehari dan 300 pesos ke 400 pesos (RM60 ke RM70).
Wang ini dia gunakan untuk membeli ubat penyakit TB atuknya dan perbelanjaan untuk pergi ke sekolah.
Reymark mula bekerja di bot nelayan ketika usianya 10 tahun selepas abangnya mengajar cara berenang. Dia bercita-cita untuk menghabiskan sekolah supaya boleh mencari kerja yang lebih baik untuk membantu keluarganya.
“Saya nak balas jasa kedua atuk dan nenek saya. Saya nak beri mereka rumah konkrit tiga tingkat.”
Kalau korang nak tahu, satu dari lima rakyat Filipina mempunyai kehidupan sangat miskin dan hanya mendapat pendapatan lebih kurang RM8 sehari.
Kerana itu, ramai antara mereka termasuk kanak-kanak bekerja sebagai penjual makanan di tepi jalan atau buruh untuk mencari sesuap nasi.
Harapnya impian Reymark nak membantu keluarganya ini tercapai hendaknya.