Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk meneruskan misi pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang hilang 10 tahun lalu.
Usaha untuk mencari serpihan pesawat Boeing 777 yang telah dihentikan sejak beberapa tahun bakal diteruskan semula.
Memetik laporan BBC, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kabinet telah meluluskan perjanjian bernilai $70juta (bersamaan kira-kira RM300 juta) dengan firma penerokaan maritim yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity untuk mencari pesawat itu.
Pencarian itu diteruskan dengan syarat ‘no find, no fee’ dimana Ocean Infinity akan dibayar hanya apabila serpihan ditemui.
Pencarian serpihan MH370 pada 2018 oleh Ocean Infinity di bawah syarat yang sama berakhir dengan kegagalan selepas tiga bulan misi berlangsung.
Usaha yang melibatkan pelbagai negara itu telah menelan belanja $150juta berakhir pada 2017 selepas dua tahun menjelajah lautan yang luas. Kerajaan tiga negara terbabit, Malaysia, Australia dan China berkata, pencarian hanya akan disambung semula sekiranya bukti baharu yang boleh dipercayai muncul mengenai kebarangkalian lokasi pesawat itu.
Walaupun kerajaan menerima tawaran Ocean Infinity, Loke berkata rundingan mengenai syarat khusus perjanjian itu masih berterusan dan akan dimuktamadkan awal tahun depan.
Pencarian baharu itu akan meliputi kawasan seluas 15,000 km persegi di selatan Lautan Hindi, berdasarkan data baharu yang boleh dipercayai.
Penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang pada Mac 2014 ketika dalam perjalanan ke Beijing, China, dari Kuala Lumpur di Malaysia dengan 239 orang di dalamnya.
Baca: Misi Pencarian Selama Ini Dikatakan Salah Lokasi, Penyelidik Dakwa Misteri MH370 Dah Terungkai?