Keselamatan semasa di atas jalan raya sememangnya di luar kawalan kita, walaupun kita dah cuba untuk bawa dengan berhati-hati, akan ada faktor-faktor lain yang membuatkan sesuatu kemalangan berlaku. Yelah, malang tidak berbau kan?
Baru-baru ni, satu kajian yang dibuat oleh pakar di perkhidmatan langganan kereta, FINN menganalisis jumlah kematian akibat kemalangan kereta di setiap negara dan menyenaraikan negara paling berbahaya mengikut kematian bagi setiap 100,000 orang.
Tiga negara tertinggi dengan jalan paling selamat
1. Netherlands
Jalan paling selamat di dunia boleh ditemui di Netherlands, negara kecil terletak di utara Eropah telah mendapat skor sebanyak 7.86/10. Kualiti jalan di Netherlands adalah tertinggi dari negara-negara lain. Negara ini juga mempunyai peratusan tertinggi pemakai tali pinggang keselamatan.
Selain itu, Netherlands juga mempunyai penunggang basikal teramai di dunia dan ekoran ini ia juga turut mempunyai tahap trafik yang terendah.
2. Norway
Norway dinamakan sebagai negara kedua mempunyai jalan paling selamat di dunia. Negara ini mempunyai kematian jalan raya kedua paling sedikit bagi setiap 100,000 orang dan juga mempunyai had laju lebuh raya kedua terendah pada hanya 110 km/j. Memandangkan suhu berais (terutamanya di utara negara) boleh membawa kepada keadaan berbahaya di jalan raya Norway, skor keselamatan jalan yang tinggi ini merupakan pencapaian yang besar.
3. Sweden dan Estonia
Sweden dan Estonia telah mendapat skor yang sama di tempat ketiga. Bagaimanapun, dua negara ini cemerlang dalam aspek keselamatan yang berbeza. Sweden mempunyai kematian jalan raya yang rendah dan pemakai tali pinggang keselamatan yang tinggi. Manakala Estonia mempunyai kadar trafik yang rendah dan peratus kematian yang rendah dikaitkan dengan alkohol.
Tiga negara dengan jalan paling berbahaya
1. Argentina
Jalan paling berbahaya di dunia boleh ditemui di Argentina dengan skor hanya 1.65/10. Banyak faktor yang memberi sumbangan kepada skor rendah ni, termasuk peratus terendah pemakai tali pinggang keselamatan, kualiti jalan yang teruk serta kadar trafik yang tinggi.
2. Amerika Syarikat
Bagi negara dunia pertama seperti Amerika Syarikat agak mengejutkan bila negara ini dinamakan sebagai negara kedua dengan jalan paling berbahaya di dunia. 29% daripada kemalangan jalan raya di sana adalah disebabkan oleh alkohol. Had laju maksimum yang tinggi juga menjadi penyebab kemalangan.
3. Greece
Walaupun aspek keselamatan jalan raya di sana tidak teruk sangat, negara ini telah diberikan skor yang rendah untuk jalan berbahaya kerana hanya 72% penduduk di sana memakai tali pinggang keselamatan dan terdapat sebanyak 8.31 kematian jalan raya setiap 100,000 orang menjadikan mereka negara ketiga dengan jalan raya paling berbahaya di dunia.
Negara dengan rakyat yang kurang berisiko untuk mati di jalan raya
1. Iceland
Iceland telah merekodkan kematian jalan raya paling sedikit dengan hanya sebanyak 2 setiap 100,000 orang walaupun dengan cuaca yang buruk dan banyak jalan yang tidak ditambak. Iceland adalah hab untuk pelancongan, akibatnya, banyak jalan popular di sekitar bulatan emas dan Reykjavik bertar diselenggara dengan baik.
2. Norway
Norway mempunyai isu yang sama dengan Iceland kerana cuaca ketika musim sejuk. Namun begitu, Norway telah melaporkan kematian di jalan raya yang rendah dengan hanya 2.12 kematian jalan raya setiap 100,000 orang. Ini kerana, ujian memandu di sana sangat teliti serta saman bawa laju sangat mahal menjadikan jalan raya di sana lebih selamat.
3. Switzerland
Switzerland pula merupakan negara ketiga mempunyai kematian jalan raya yang rendah kerana undang-undang jalan raya di sana sangat tegas dan penguatkuasa di sana memang tak bagi peluang sekiranya ada pemandu yang bawa laju atau cuai.
Negara Yang Rakyatnya Lebih Berisiko Untuk Mati Atas Jalan Raya
1. Arab Saudi
Arab Saudi merekodkan kematian jalan raya tertinggi setiap 100,000 orang. Ini kerana harga petrol di sana sangat rendah menyebabkan lebih ramai orang mampu untuk memandu kereta mahal dan menjadikan ia kurang selamat dari kereta biasa kerana pemandanganya yang lebih limited.
2. Thailand
Thailand merupakan negara kedua dengan jalan raya paling membawa maut dengan 32 kematian setiap 100,000 orang. Ramai penduduk Thai menunggang motosikal berbanding memandu kereta dan sangat biasa untuk orang di sana menunggang beramai-ramai di atas motor. Perkara ini digabungkan dengan kekurangan penggunaan topi keledar meningkatkan lagi risiko berlakunya kematian di jalan raya.
3. Malaysia
Malaysia mempunyai jumlah kematian jalan raya ketiga tertinggi bagi setiap 100,000 orang. Walaupun berada pada kedudukan ini, terdapat perbezaan yang besar di antara Malaysia dan Thailand, kerana Malaysia mempunyai hampir sepuluh kematian yang lebih sedikit. Malaysia adalah negara Asia ketiga dalam tiga negara teratas dengan jalan yang paling berbahaya.
Tapi dalam kajian ni tak beritahu pula punca kenapa kita berisiko tinggi untuk mati di jalan raya. Mungkin sebab jalan banyak yang tak elok kot?
Baca: Kajian: 75% Remaja M’sia Tonton Video & Gambar Lucah Gara-Gara Ibu Bapa Sibuk Bekerja