Mahkamah Persekutuan hari ini telah mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap 6 bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menerima rayuan akhir semua perayu atas keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Artikel berkaitan : Peguam Bekas Pelajar UPNM Anggap Hukuman Mati Tidak Selamat & Perlu Diketepikan
Artikel berkaitan : 5 Pegawai Kadet ALK Dari UPNM Dibatal Lantikan & Perlu Bayar Ganti Rugi
Kesemua 6 bekas pelajar itu selaku perayu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang semuanya berusia 29 tahun.
Oleh itu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas pelajar UPNM mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Hasnah dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati elemen kecederaan mangsa menyebabkan kematian tidak dapat dibuktikan sebarang keraguan yang munasabah.
“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan keputusan hakim Mahkamah Tinggi iaitu Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan persubahatan dikembalikan, hukuman penjara 18 tahun dikekalkan,” katanya.
Pada 23 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap 6 bekas pelajar tersebut kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.
Sebelum itu, pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap mereka selepas mendapati mereka bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.
Bekas pelajar yang kini sudah berusia 29 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017. Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Sumber : Berita Harian