Jika disoal apakah keistimewaan kita sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu salah satu jawapan yang akan kita dengar adalah keharmonian masyarakat berbilang bangsa. Walau berbeza dari pelbagai aspek, namun kita tetap berlindung di bawah ‘rumah’ yang sama.
Sebelum ini kita pernah lihat contoh keharmonian ini menerusi sebuah klip tular oleh seorang YouTuber bernama Leeroy Wong yang mengadakan social experiment untuk melihat jika rakyat Malaysia sudi membantu ‘graduan’ mengikat tali leher untuk sesi temu duga.
Video tersebut tular apabila seorang pemandu bas membantu Leeroy mengikat tali leher dan memberikan kata-kata semangat, menjadikan pemuda tersebut sebak dan menitiskan air mata.
Baru-baru ini, Leeroy bertemu semula dengan pakcik bas viral tersebut dalam perkongsian terbarunya di Tiktok.
@leeroywong28 Malaysia tali leher video. Jumpa uncle lagi ❤️#tiktokmalaysia
Lebih mengharukan, reaksi pakcik ini ketika berjumpa semula dengan YouTuber itu yang seakan-akan dia sedang berjumpa dengan anaknya sendiri. Siap cium pipi lagi sebelum peluk, comel betul!
Itu hari saya tengok you macam saya punya anak mau pergi interview. Saya simpati sama you.”
Leeroy kemudiannya menghadiahkan sebuah pingat berbentuk permata kepada pakcik bas tersebut. Pingat tersebut dikatakan mempunyai gelaran “Malaysia Best Penyayang” sebagai tanda penghargaan kerana sudi membantunya tempoh hari.
Pakcik itu kemudiannya memuji eksperimen sosial yang dibuat oleh Leeroy, menyatakan bahawa ia satu kaedah yang baik untuk melihat perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Saya rasa bangga, dengan cara you buat macam ni kita dapat menyatukan perhubungan antara kaum. Niat hati saya ikhlas, maknanya kita takde kira bangsa, takde kira agama.”
Di ruangan komen, ramai yang terharu melihat reaksi pakcik bas ini yang menyambut Leeroy seperti anak sendiri walau mereka hanya bertemu sekali saja ketika eksperimen sosial itu. Besar jiwa pakcik ni…
Memang macam ayah dengan anak, kan? Inilah manisnya Malaysia, berbeza kaum, tapi semua bagai satu keluarga.