in

“Macam Mana Semua Ni Boleh Jadi?” – Kronologi Penuh Isu FIFA Denda FAM Atas Kes Pemalsuan Dokumen Pemain

Untitled design 48

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan berita mengenai isu kelayakan pemain bola sepak Malaysia. Lebih mengejutkan lagi apabila FIFA telah mengambil keputusan untuk mengenakan denda dan penggantungan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain yang dikatakan menggunakan dokumen palsu untuk membuktikan asal-usul mereka sebagai rakyat Malaysia.

Keputusan mengejutkan itu bukan sahaja mencetuskan persoalan besar terhadap kredibiliti FAM, macam mana perkara ni boleh terjadi? Jom, kita lihat kronologi yang berlaku.


Program heritage player

fam sinar harian

Program heritage player atau program pencarian pemain warisan diperkenalkan sejak 2018 sebagai usaha meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya. Idea asalnya adalah untuk memberi peluang kepada pemain luar negara yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia untuk beraksi di bawah jalur gemilang.

Antara pemain yang terlibat melalui program ini adalah:

  • Facundo Tomás Garcés (Argentina)

  • Gabriel Felipe Arrocha / Gabriel Palmero (Sepanyol)

  • Rodrigo Julián Holgado (Argentina)

  • Imanol Javier Machuca (Argentina)

  • João Vitor Brandão Figueiredo (Brazil)

  • Jon Irazábal Iraurgui (Sepanyol)

  • Héctor Alejandro Hevel Serrano (Sepanyol)

Menurut CNA, sekitar Mac hingga Jun 2025, FAM telah menghantar dokumen tujuh pemain yang merupakan berketurunan ‘Malaysia’. Dokumen tersebut menjelaskan sijil lahir datuk dan nenek pemain yang dikatakan lahir di Malaysia dan dokumen itu juga merupakan syarat penting yang membolehkan mereka bermain untuk mewakili Malaysia.

Meskipun program ini pernah diraikan sebagai satu inisiatif yang bagus suatu ketika dahulu, namun ia sering diperdebatkan bahawa program ini boleh menggoncang reputasi bola sepak negara nanti.

Artikel Berkaitan: Isu Pendedahan Asal Usul Sebenar 7 Pemain Warisan Oleh FIFA, FAM Anggap Dakwaan Tidak Tepat & Tidak Adil – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Kenyataan FIFA tu bukan hal kecil” – Hannah Yeoh Respon Isu Pemain Warisan FAM – Lobak Merah

Kemenangan besar Malaysia menewaskan Vietnam 

Punca siasatan ni timbul selepas perlawanan Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun 2025 dalam kelayakan Piala Asia. Ketika tu, tujuh pemain ini yang mewakili Malaysia hingga memperolehi kemenangan iaitu 4-0.

Namun tidak lama selepas itu, FIFA menerima satu aduan yang mempertikaikan status kelayakan beberapa pemain terbabit.

Dapatan siasatan FIFA  

dokumen fifa

Siasatan FIFA terhadap FAM memuncak apabila mendapati terdapat perbezaan ketara antara dokumen yang dihantar oleh FAM dan sijil kelahiran asal yang diperoleh terus dari pejabat pendaftaran di Argentina, Sepanyol dan Brazil.

Hasil semakan mendapati setiap sijil kelahiran nenek moyang pemain mengandungi butiran yang telah diubah, iaitu tempat lahir asal di luar negara telah digantikan dengan negeri di Malaysia bagi mencipta pertalian keluarga palsu.

Sebagai contoh, tempat lahir asal María Belen Martín yang sepatutnya tertera Santa Cruz de la Palma, Sepanyol telah digantikan dengan Melaka, Malaysia, manakala bagi Carlos Fernandez, tempat lahir asal Santa Fe, Argentina telah ditukar kepada Pulau Pinang.

Menurut laporan bertulis FIFA setebal lebih 6,000 perkataan, pemalsuan itu dilakukan bagi mewujudkan hubungan kekeluargaan palsu agar pemain-pemain tersebut layak mewakili Malaysia di bawah klausa keturunan.

Susulan penemuan tersebut, Jawatankuasa Tatatertib FIFA secara rasmi membuka prosiding terhadap FAM dan tujuh pemain terlibat atas kemungkinan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen, lapor New Straits Times.

FAM dan pemain-pemain tersebut kemudiannya diberi tempoh sehingga 22 September untuk mengemukakan respon dan pembelaan rasmi.

Dalam maklum balas rasminya kepada FIFA, FAM menegaskan bahawa mereka bertindak dengan niat baik dan hanya bergantung pada dokumen yang telah disahkan oleh pihak berkuasa Malaysia, termasuklah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

FAM turut memaklumkan bahawa hasil semakan dalaman mendapati berlaku kesilapan teknikal oleh kakitangan pentadbiran ketika proses penghantaran dokumen kepada FIFA.

“Kami telah mengenal pasti berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran kami. Jadi, pihak kami memang memandang serius terhadap isu ini. 

Namun begitu, kami ingin menegaskan bahawa pemain warisan yang terlibat adalah warganegara Malaysia yang sah,” jelas Setiausaha Agung Datuk Noor Azman Rahman.

FIFA mengenakan denda 

Bagaimanapun, selepas meneliti semua bukti yang dikemukakan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 26 September 2025 mengumumkan keputusan rasmi bahawa FAM dan tujuh pemain berkenaan didapati bersalah atas pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.

Berikutan dengan keputusan itu, FAM dikenakan denda sebanyak CHF 350,000 iaitu dianggarkan sekitar RM1.9 juta, manakala setiap pemain terbabit turut dikenakan denda CHF 2,000 serta penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

FIFA turut memaklumkan bahawa isu berkaitan kelayakan sebenar pemain-pemain tersebut untuk mewakili Malaysia telah dirujuk kepada FIFA Football Tribunal untuk pertimbangan lanjut.

FAM dan para pemain diberi tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis penuh atau mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

FAM mengeluarkan kenyataan rasmi 

FAM mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada FIFA berhubung dengan keputusan tatatertib kepada tujuh pemain tersebut.

Susulan itu, FAM akan mengemukakan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan sambil menegaskan bahawa semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu ini telah lengkap dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera.

FAM dalam kenyataannya memandang serius beberapa kesimpulan yang dibuat oleh FIFA, khususnya terhadap dakwaan bahawa para pemain ‘memalsukan dokumen’, di samping menegaskan tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan tersebut.

Menurut kenyataan rasmi FAM, penggambaran kes ini adalah tidak tepat serta tidak adil dan perkara itu dibangkitkan sepenuhnya dalam proses rayuan rasmi. FAM turut menekankan komitmennya untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara serta melindungi hak para pemain, selain memastikan setiap langkah diambil dengan telus dan mengikut peraturan.

Pada masa yang sama, FAM menjelaskan bahawa kes ini turut melibatkan maklumat rasmi berkaitan prosedur kerajaan Malaysia bagi pengeluaran dan pengesahan pasport iaitu selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966 di mana sebarang pendedahan terhadap bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali.

Sehubungan itu, FAM menegaskan bahawa mereka terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan terhadap elemen berkenaan dan hanya akan berkongsi maklumat tersebut dengan pihak FIFA bagi tujuan kes ini sahaja.

Pengakuan Jabatan Pendaftaran Negara

Namun begitu, apa yang mengejutkan lagi adalah apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyatakan bahawa mereka tidak pernah menerima sijil kelahiran asal pemain-pemain tersebut, lapor The Star.

Sebaliknya, JPN hanya mengeluarkan salinan versi Malaysia berdasarkan maklumat sokongan yang diperoleh daripada dokumen luar negara. Rekod kelahiran asal pula dilaporkan tidak dikesan dalam simpanan rasmi.

FIFA menilai kenyataan ini sebagai bukti bahawa proses pengesahan kerajaan Malaysia mungkin tidak berpandukan dokumen primer, sekaligus menimbulkan persoalan serius terhadap tahap ketelitian FAM dalam menjalankan semakan.

Dengan perkembangan yang kian rumit ini, isu pemain warisan kini bukan sekadar soal kelayakan atas padang saja, tetapi juga ibarat telah mencabar kredibiliti institusi yang terlibat dalam proses pengesahan.

Sama ada FAM mampu untuk membersihkan nama mereka atau tidak, keputusan rayuan nanti bakal menjadi detik penting dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Sumber: Inside FIFA, FAM, Free Malaysia Today

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.