Seringkali kita dengar mengenai kisah orang hilang di dalam hutan dan tidak dapat ditemui sehingga ada yang mengaitkannya dengan unsur mistik seperti ‘disorok’ bunian dan sebagainya.
Baru-baru ini, tular sebuah kisah dari negara seberang berkenaan seorang lelaki bernama Suyanto, 42 dari Jawa Timur yang berjaya diselamatkan selepas dikatakan hilang selama sehari di dalam hutan.

Menurut Detik, Suyanto dikatakan hilang semasa masuk ke dalam hutan untuk mencari makanan buat haiwan ternakannya.
Ketika ditemui penyelamat bernama Agus, Suyanto dikatakan berada di dalam keadaan yang sangat lemah dekat pinggir hutan Desa Ngares, Wilayah Trenggalek pada Selasa lepas.
Mangsa hanya duduk dan menangis. Dia mungkin bersyukur kerana akhirnya ada orang menjumpainya,” kata Agus.
Penat melambai tapi tak ada siapa nampak
Kata Agus lagi, ketika mangsa ditemui, dia tidak mampu berkomunikasi dengan baik dan berada dalam keadaan terpinga-pinga.
Selepas dia membawa Suyanto keluar dari hutan dan keadaan dirinya mula stabil, barulah mangsa menceritakan apa yang berlaku hingga membuatkan dia berasa meremang!
Kata Agus, Suyanto mampu melihat pasukan penyelamat yang sedang mencarinya tetapi mereka langsung tidak sedar akan kehadirannya di situ.
Dia juga bercerita, masa orang mencarinya, dia sempat melambai-lambai tangan tapi mereka semua seperti tidak nampak. Dia juga mengakui ada batuk malam tadi,” kata Agus.

Ketika pencarian dilakukan, orang tempatan mengakui mereka memang ada dengar bunyi batuk tapi tidak tahu dari mana datangnya bunyi itu. Uish takutnyaaa!
Kata Agus lagi, lokasi penemuan juga sekitar 2 kilometer dari rumah mangsa dan lebih aneh lagi ia merupakan jalan para penoreh getah mahupun penduduk kampung berulang-alik hendak ke hutan.
Saya setiap hari ke hutan guna jalan itu,” katanya lagi.
Suyanto walau bagaimanapun bersyukur dia akhirnya dibawa pulang ke rumah dan bersatu semula dengan keluarganya.
Berhati-hatilah kalau nak masuk ke dalam hutan. Sebaiknya bacalah ayat-ayat suci al- Quran buat pelindung diri.

