Semalam, tular sebuah video memaparkan sebuah lori pasir yang dipandu dengan bahagian belakangnya tidak diturunkan melanggar kabel elektrik sehingga tiga tiang elektrik tumbang, dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah, Iskandar Puteri, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan telah mengesahkan insiden yang berlaku kira-kira jam 3.20 petang itu selepas pemandu lori tampil membuat laporan polis.
Artikel berkaitan: Bertembung Dengan Lori, Van Bawa Petugas Kesihatan KKM Terlibat Kemalangan Di Tenom, Sabah
Artikel berkaitan: Gagal Bayar Wang Jaminan, Pemandu Lori Batu Ditempatkan Di Lokap Polis
Polis mengesahkan satu insiden tular membabitkan sebuah lori pasir yang melanggar kabel elektrik di Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas, berhampiran SMK Gelang Patah, di sini.
“Hasil siasatan insiden itu berlaku kira-kira jam 3.20 petang semalam selepas pemandu lori pasir terbabit baru selesai menurunkan muatan tanah di sekitar kawasan Gelang Patah.
“Pemandu kemudian mendakwa tidak menyedari bahagian belakang atau ‘bucket’ lori yang dipandunya tidak diturunkan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan terus melanggar kabel elektrik di situ, sehingga menyebabkan tiga tiang lampu konkrit berhampiran tumbang,” katanya dalam satu kenyataan.
View this post on Instagram
Dalam video berkenaan, dapat dilihat lori pasir berkenaan merempuh kabel elektrik sebelum tiga tiang elektrik yang berhampiran tumbang ke atas jalan.
Difahamkan pemandu lori tersebut ialah seorang lelaki warga tempatan berusia 69 tahun.
Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu lori itu didapati negatif. Pemandu berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan terhadap pengguna jalan raya berkenaan dilaporkan,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Buletin TV3