Pihak berkuasa Kemboja menahan seramai 75 individu disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian menerusi satu operasi khas membanteras jenayah siber yang dijalankan di ibu negara, Phnom Penh.
Menurut Jawatankuasa Ad-Hoc bagi Memerangi Penipuan Dalam Talian, tangkapan dibuat pada Jumaat hasil serbuan ke atas sebuah hotel dan sebuah rumah tumpangan yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan siber.
Kesemua suspek turut disyaki berada di negara itu secara tidak sah.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Ketua Sindiket Scam Siber Chen Zhi Ditahan Di Kemboja, Kini Diekstradisi Ke China
Artikel berkaitan: Guna Isteri & Anak Minta Simpati, Netizen Dedah Modus Operandi ‘Scammer’ Warga Asing Di RnR
Pihak berkuasa memaklumkan siasatan awal mendapati suspek terlibat secara aktif dalam aktiviti penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari dalam dan luar negara.
Kesemua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut undang-undang sedia ada.
Kerajaan Kemboja menegaskan tindakan undang-undang paling tegas akan diambil terhadap semua individu yang terlibat dalam jenayah siber berkenaan, termasuk dalang utama, tanpa sebarang kompromi atau pengecualian.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet sebelum ini menekankan bahawa pembanterasan penipuan siber adalah antara keutamaan kerajaan ketika ini bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyeru kerjasama menyeluruh daripada pihak berkuasa dan masyarakat bagi mengekang jenayah itu serta memulihkan imej Kemboja di peringkat antarabangsa.
Sumber: Astro Awani
