Dalam kita sibuk mengikuti perkembangan kes Zara Qairina, muncul pula satu lagi kisah lama yang kembali dibuka. Keluarga arwah Wan Ahmad Faris kini menuntut keadilan selepas 12 tahun penantian. Tragedi yang menimpa remaja ini bukan sahaja mengejutkan orang sekeliling, malah kini kembali menjadi perhatian selepas siasatan kesnya dibuka semula.
Tapi siapakah Wan Ahmad Faris sebenarnya? Berikut kronologi penuh kes Wan Ahmad Faris yang mendapat perhatian ramai ini…
Siapa Wan Ahmad Faris?
Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman merupakan seorang pelajar Tingkatan Empat di Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas di Kelantan. Anak kepada pasangan Wan Abdul Rahman Wan Ahmad dan Ruhani Hussin ini juga dikenali sebagai seorang seorang pengawas sekolah dan serta pelajar cemerlang.
Namun, pada Disember 2013, kehidupannya yang cerah seakan diragut sekelip mata. Tragedi itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam pada ahli keluarganya, malah menimbulkan persoalan yang masih belum terjawab sehingga hari ini.
Ini kronologi lengkap kes Wan Ahmad Faris sehingga perkembangan terkini…
Penemuan mayat Wan Ahmad Faris
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris dijumpai dalam keadaan tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas, Kelantan.
Mayat dilaporkan dalam keadaan separuh bogel dan kain pelikatnya dijadikan sebagai tali gantung, dijumpai oleh penyelia asrama apabila terhidu bau busuk dari dalam tandas itu.
Pakar forensik yang melakukan bedah siasat mengesahkan kematian arwah berlaku secara mengejut dan tidak ada kaitan dengan unsur jenayah.
Keputusan inkues tahun 2016
Menurut laporan Sinar Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beliau menjelaskan Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian arwah Wan Ahmad Faris bukanlah disebabkan bunuh diri, tetapi sebaliknya oleh tindakan individu yang tidak dikenalpasti.
Meskipun Mahkamah Koroner pada tahun 2016 telah mendapati bahawa kematian arwah melibatkan unsur jenayah, kes ini tetap diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) pada tahun 2020.
“Kes adik Faris (Wan Ahmad Faris) pada 2013 dan keputusan inkues pula 2016. Apa keputusan inkues, dia ditemui tergantung dan ada penglibatan pihak ketiga…sebab itu sekarang keluarga desak untuk melihat semula (kes).
Susulan itu, perkara ini telah menyebabkan siasatan kes ini ditamatkan meninggalkan keluarga dalam dilema dan ingin menuntut keadilan.
Keluarga Wan Ahmad Faris fail saman
Pada Julai 2025, keluarga Wan Ahmad Faris telah memfailkan saman bagi membolehkan siasatan kematian pelajar itu dibuka semula.
Peguam bela, Dr Zulqarnain Lukman berkata, writ saman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 28 Julai terhadap tiga pihak utama membabitkan Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara serta Pegawai Penyiasat kes.
Ibu arwah, Ruhani Hussin, 70, merayu agar pihak berkuasa boleh menyelesaikan kes itu meskipun sudah 12 tahun tertangguh kerana saksi penting bagi kes itu tidak dipanggil dan fail kes berkenaan dibekukan tanpa sebarang tindakan, lapor Sinar Harian.
“Sudah lebih sedekad kejadian itu berlaku, saya memang reda tetapi sebagai ibu, saya tetap mahu menuntut bela atas kematian tragik arwah.
“Justeru, saya meminta siasatan kes kematian arwah anak dibuka semula, dan mahu pembunuhnya dikenakan tindakan atas perbuatan jenayah yang dilakukan,” katanya
Selain itu, wakil barisan peguam iaitu Liyana Marzuki, menjelaskan bahawa pihak mereka akan memfailkan saman sebelum akhir bulan Mei, setelah dokumen serta strategi tindakan dimuktamadkan bersama pasukan guaman.
Beliau turut berkata, tindakan saman dilakukan termasuk permohonan kepada mahkamah untuk membuka semula siasatan serta menuntut ganti rugi berikutan kecuaian yang didakwa dalam penyiasatan sebelum ini.
“Kita mempunyai alasan kukuh untuk pihak berkuasa membuka semula siasatan.
“Kami akan mengumumkan pihak dinamakan dalam saman itu sebaik saja semuanya sudah lengkap nanti,” katanya.
Solidariti buat Wan Ahmad Faris
Pada 17 Ogos 2025, lebih daripada 1,000 orang menyertai himpunan solidariti untuk arwah Wan Ahmad Faris yang bermula pada jam 8.40 malam di Kota Bharu. Malam itu, pelbagai lapisan masyarakat hadir dengan membawa sepanduk, kain rentang dan poster wajah arwah sebagai tanda sokongan kepada usaha keluarga menuntut keadilan atas kematiannya.
Ibu bapa arwah, Ruhani Hussin, 70, dan suaminya, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 79, meluahkan rasa terharu melihat kehadiran ribuan orang dalam himpunan tersebut.
Selain itu, keluarga arwah bersama orang ramai turut menunaikan solat Isyak dan solat hajat berjemaah sebagai tanda munajat dan berdoa kepada Yang Esa. Pihak polis hadir untuk mengawal himpunan bagi memastikan keselamatan semua yang hadir, lapor Harian Metro.
Terdapat unsur buli dan dendam
Peguam yang mengendalikan prosiding inkues tahun 2016, Alias Ibrahim, menjelaskan bahawa bukti yang dikemukakan sepatutnya boleh membuka laluan kepada siasatan jenayah yang lebih terperinci.
Namun, kes ditutup sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) menyebabkan tiada perkembangan jelas sehingga hari ini.
“Kami yakin bahawa keterangan dan bukti yang ada, termasuklah nama suspek, sudah mencukupi pada masa itu untuk menyokong pertuduhan jenayah.
“Malangnya, sehingga kini tiada perkembangan yang jelas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menyertai Himpunan Aman Solidariti Justice For Faris, Zara di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Menurut laporan Astro Awani, Alias Ibrahim telah mendedahkan berdasarkan perbicaraan di Mahkamah Koroner terdahulu, motif pembunuhan 12 tahun lalu berkemungkinan membabitkan unsur buli dan dendam oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap arwah Wan Ahmad Faris.
Antara bukti yang dikemukakan adalah termasuk sampel DNA pada kain pelikat dan selipar yang ditemui di lokasi mayat, serta cap jari yang belum diuji pada masa itu.
“Berdasarkan keterangan, terdapat unsur buli dan dendam kerana sebelum kejadian, berlaku beberapa insiden lain melibatkan pihak yang terkilan dan tidak berpuas hati terhadap arwah,” katanya.
Susulan itu, seramai 10 peguam dari Kuala Lumpur dan Kota Bharu dikumpulkan bagi usaha supaya siasatan jenayah dibuka semula. Mereka turut menghantar surat kepada Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara pada 25 Mac lalu bagi mendesak supaya kes ini dibuka semula.
“Kami usahakan kedua-dua saluran undang-undang, iaitu saman sivil dan tuntutan siasatan jenayah.“Jika kes ini tidak dibawa ke mahkamah, banyak perkara akan kekal tidak terjawab termasuk isu tandas yang dirobohkan. Jawapan kepada persoalan ini sangat penting untuk keluarga mendapatkan keadilan terhadap arwah,” katanya.
Siasatan dibuka semula
Pada Ogos 2025, keluarga arwah Wan Ahmad Faris telah menyerahkan surat kepada polis Bukit Aman bagi memohon membuka semula kertas siasatan kes kematian anak mereka.
Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beliau menjelaskan bahawa pihak polis tidak mempunyai halangan dalam membuka semula siasatan kerana kertas siasatan itu sudah lengkap.
“Saya sudah bincang dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah apa yang menghalang kita untuk tengok semula (kertas siasatan), polis kata tiada masalah apa-apa untuk buka balik kertas siasatan itu kerana ia sudah lengkap,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat
Selepas 12 tahun menunggu jawapan, keluarga Wan Ahmad Faris masih berjuang demi mendapatkan kebenaran. Dengan perkembangan terbaru ini, keluarga arwah berharap agar keadilan dapat ditegakkan.
Sumber: Sinar Daily, Sinar Harian, Bernama, Berita Harian