Jika diberi kesempatan, rasanya kebanyakan orang di dunia ini mahu nama mereka terpahat dalam Guinness World Record. Tapi, bagi seorang wanita ini, dia merasakan sudah tiba masanya dia memberi peluang pada orang lain untuk memecahkan rekod dunia sama yang dipegangnya.
Pada 26 Mac 2021, Ayanna Williams yang berasal dari Houston, Texas, Amerika Syarikat diiktiraf Guinness World Records sebagai wanita yang mempunyai kuku paling panjang pada kedua-dua belah tangannya.
Lapor Guinness World Records, panjang kesemua kuku pada jari tangan kanan Ayanna adalah 338.5 sentimeter. Manakala, jumlah panjang kuku pada jari tangan kirinya pula mencecah 395.05 sentimeter. Jika digabungkan kedua-duanya, panjang kuku beliau adalah 733.55 sentimeter (24 kaki 0.7 inci)
Untuk info, Ayanna juga pernah memegang title ini pada tahun 2017. Ketika itu, jumlah panjang kukunya adalah 576.4 sentimeter.
Pun begitu, selepas 28 tahun menyimpan kuku, Ayanna dikhabarkan telah pergi ke sebuah klinik dermatologi di Fort Worth, Texas untuk memotong aset berharganya itu, lapor CNN.
Difahamkan, itu adalah kali pertama Ayanna memotong kukunya semenjak awal tahun 1990-an.
Nak galakkan peminat kuku lain untuk pecahkan rekod sama
Kerana mempunyai kuku yang sangat panjang, Ayanna dilaporkan menghadapi kesukaran untuk melakukan beberapa aktiviti seperti membasuh pinggan dan memasang cadar pada katil.
Selain itu, wanita itu juga mengatakan dia memerlukan tiga sehingga empat botol pewarna kuku dan mengambil masa beberapa hari untuk selesai mewarnakan asetnya.
“Saya perlu sangat, sangat berhati-hati dengan segala pergerakan saya semasa mempunyai kuku panjang. Kini, saya teruja untuk memotongnya sebagai tanda permulaan baru,” katanya.
Tambah Ayanna lagi, goal terbarunya pula adalah untuk mengalakkan peminat kuku lain supaya cuba untuk memecahkan Guinness World Records bagi kategori sama.
Wanita itu juga berkata, dia mempunyai perancangan untuk ‘membela’ kukunya lagi di masa hadapan. Tetapi, hanya sehingga ia mencecah panjang enam inci.
Sementara itu, aset Ayanna yang sudah dipotong akan dipamerkan di Ripley’s Believe It or Not! Museum di Orlando Florida.
Selain Ayanna, Guinness World Records juga pernah mengiktiraf seorang wanita bernama Lee Redmond bagi kategori sama. Wanita berkenaan dilaporkan telah menyimpan kukunya yang sepanjang 28 kaki semenjak tahun 1979. Walau bagaimanapun, Lee telah kehilangan asetnya selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada tahun 2009.
Sumber: CNN, Guinness World Records
Baca: Berhenti Potong Kuku Sejak 1979, Kenali Bekas Pemegang Rekod Dunia Kuku Terpanjang, Lee Redmond