Ingatkan kisah mengenai orang awam menyamar menjadi doktor ni hanya berlaku di luar negara, tak sangka pula perkara sebegini berlaku di Malaysia baru-baru ini.
Menurut Malaysiakini, seorang lelaki berusia 20 tahun telah dihadapkan ke mahkamah selepas dia ‘kantoi’ didakwa menyamar menjadi seorang doktor di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di Kuching, Sarawak.
Tertuduh katanya telah menyamar menjadi doktor dari Hospital Umum Sarawak (HUS) sebanyak 32 kali sejak 16 Jun hingga 1 Julai lalu. Aduii…
Menerusi laporan dari See Hua Daily, lelaki berkenaan juga mempunyai cop, kad nama, peralatan perlindungan peribadi, peralatan perubatan dan kelengkapan sendiri yang lain.
Setelah membuat pertanyaan awal di PPV Stadium Perpaduan, lelaki tersebut telah didakwa pergi sekali lagi ke PPV berkenaan pada 16 Jun dan mendakwa telah menerima kebenaran dari ‘orang atasannya’ untuk bekerja di situ.
Pada 19 Jun pula, dia didakwa mengendalikan kaunter pendaftaran PPV tanpa kelulusan daripada kakitangan PPV.
Walau bagaimanapun, laporan tersebut tidak menyebut sama ada ‘doktor’ terbabit ada memberi suntikan vaksin mahupun melakukan prosedur perubatan lain.
Kegiatan ‘doktor’ ini katanya mula kantoi pada 22 Jun ketika tertuduh berbual dengan doktor lain, yang mana doktor tersebut mendapati dia hanya berusia 20 tahun. Muda benor dah jadi doktor ye…
Ketika ditanya polis, ‘doktor’ itu didakwa berkata dia menyamar kerana ‘berminat untuk menjadi doktor’ dan telah mempelajari perubatan secara dalam talian.
Tertuduh kini didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Disebabkan dia berusia di bawah 21 tahun, tiada pengakuan direkodkan sementara menunggu laporan akhlak dikeluarkan. Kes ini dijadual disebut di mahkamah majistret pada 17 Ogos ini.
Aish seram laaa macam-macam orang sekarang. Menyamar jadi doktor pulak.