Luluh hati seorang suami apabila pulang ke rumah di Kampung Tanaki, Penampang, Sabah selepas seharian bekerja, terkejut melihat isterinya tidak lagi bernyawa di samping bayi mereka.
Kisah tragis itu dikongsikan oleh Exly Jailon di Facebook baru-baru ini yang kehilangan isteri tersayang pada awal Mei lalu.
Hanya diberi cuti paterniti selama 2 hari
Menerusi perkongsian beberapa hantaran Exly, dia mendakwa terpaksa bekerja selepas hanya diberi dua hari cuti paterniti untuk menjaga isterinya yang baru melahirkan anak.
Dia juga telah ‘diugut’ untuk dipotong gaji jika gagal hadir bekerja. Walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan itu, dia tetap terus bekerja demi menyara keluarga.
Difahamkan, Exly bekerja sebagai seorang pemandu sebuah syarikat pembekal barang.
Balik kerja jumpa isteri sudah meninggal, bayi menangis kelaparan
Sebaik pulang dari bekerja, dia terlihat isterinya sudah terbujur kaku di samping anak mereka yang berusia 4 hari, menangis kelaparan.
Exly meluahkan kekesalan kerana kehilangan isterinya yang pada ketika itu masih lagi dalam pantang. Apatah lagi terpaksa membesarkan bayi kecilnya sendirian selepas insiden tersebut.
Lebih memilukan, apabila dia terpaksa menanggung 13 hari potongan gaji kerana berkabung dan perlu menjaga anaknya yang masih kecil. Malah, majikan pula memintanya agar tidak menyalahkan syarikat atas kematian isterinya.
Perkongsian hantaran itu telah mendapat pelbagai reaksi netizen, rata-ratanya berang dengan layanan majikan terhadap Exly yang dilihat tiada sifat empati terhadap pekerjanya.
Dalam pada itu, ramai turut meminta Exly menyaman syarikat berkenaan malah menawarkan bantuan kewangan untuk membantunya mendapatkan keadilan berhubung insiden tersebut.
Baca: “Kau tinggalkan seribu satu kenangan” – Majikan Mangsa Bunuh Teman Lelaki Ingin Tuntut Bela