Seorang lelaki berusia 22 tahun di Karnataka, India sanggup mencuri wang tunai dan barang kemas bernilai kira-kira Rs 47 lakh (lebih RM223,000) daripada rumah saudaranya sendiri semata-mata untuk membiayai majlis perkahwinannya. Suspek, dikenali sebagai Shreyas, dilaporkan telah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang wanita selama empat tahun sebelum nekad bertindak demikian.
Kejadian berlaku pada 15 September lalu ketika mangsa, Harish, yang juga pemilik kedai tempat Shreyas bekerja, tiada di rumah. Shreyas memecah masuk kediaman tersebut dan melarikan emas seberat 416 gram serta wang tunai Rs 3.46 lakh. Jumlah keseluruhan barangan yang dicuri dianggarkan bernilai Rs 47 lakh.
Selepas menerima laporan, Polis Hebbagodi melancarkan siasatan dan menahan Shreyas di kediamannya di Gattihalli. Hasil siasatan mendapati suspek telah menggadaikan sebahagian emas curi serta menyimpan wang tunai itu di sebuah syarikat kewangan dan bank. Sebahagian daripada hasil curian turut diberikan kepada teman wanitanya yang tinggal di Bannerghatta.
Pihak berkuasa turut menemui bukti bahawa Shreyas cuba mengaburi siasatan dengan menghasilkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) palsu bagi menutup perbuatannya. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut membawa kepada penemuan semua barang kemas dan wang tunai yang dicuri.
Polis berjaya merampas semula keseluruhan hasil curian tersebut, manakala Shreyas kini direman untuk membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Sumber: Sinar Harian
Baca: Samun & Perkosa Wanita, Penjenayah Mengadu Sesak Nafas Sebelum M*ti