Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis selepas disyaki berkelakuan tidak senonoh kepada seorang wanita di tempat awam di Savanna Southville City, Sepang, pada Isnin.
Lelaki yang bekerja sebagai sebagai penyelenggara bangunan itu ditahan di Labohan Dagang tengah malam Selasa selepas pengadu seorang wanita membuat laporan kepada pihak polis, lapor Buletin TV3.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal, insiden tersebut berlaku ketika mangsa sedang berjalan di kawasan awam dan suspek yang berada dalam sebuah kereta iriz berwarna merah memanggil pengadu.
“Pengadu menghampiri kereta suspek dan mendapati dia sedang menunjukkan kemaluannya.
“Bertindak atas laporan yang dibuat, polis kemudian menahan suspek pada jam 12.15 tengah malam selain turut merampas kereta jenis Proton Iriz yang dipandu suspek,” katanya.
Dalam siasatan awal, polis mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan kini suspek telah ditahan reman selama tiga hari di Mahkamah Majistret Sepang.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 48 saat yang dipercayai dirakam oleh pengadu semasa dia dipanggil oleh suspek yang berada di dalam keretanya.
Suspek yang menyedari dirinya sedang dirakam dan ditegur oleh pengadu, segera memandu keretanya meninggalkan lokasi kejadian.
Kata pengadu, ini kali kedua dia dikacau oleh lelaki terbabit. Dakwanya, lelaki itu menyasarkan wanita yang berjalan seorang diri walaupun di tempat awam.
Sumber: Buletin TV3