Walaupun tahun 2021 bakal melabuhkan tirai, ternyata masih ada lagi yang ‘kebelakang’ dengan mengukur kejayaan seseorang itu bergantung kepada jenis dan bidang pekerjaan, terutamanya kalau seseorang itu mempunyai latar belakang pendidikan tinggi.
Jual kek sejak semester 2, kini dah boleh buka kedai sendiri
Ada individu ini seolah-olah memperlekehkan seseorang lepasan universiti yang ‘lari bidang’.
Ianya jadi perhatian apabila Utusan kongsikan kisah inspirasi daripada seorang lepasan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang perakaunan, dia kini menceburkan diri dalam perniagaan kedai kopi dan kek.
Minat Nur Syuhada Kamarudin, 27 ini mula tercetus ketika dia mula belajar membuat dan menjual kek coklat sejak semester 2 semasa sedang menuntut di universiti tersebut.
“Selepas tamat belajar pada tahun 2018, saya memohon pekerjaan namun gaji yang ditawarkan sekitar RM1,200 tidak berbaloi. Kemudian, saya berbincang dengan keluarga, mereka menyarankan saya untuk menumpukan sepenuhnya kepada jualan kek dari rumah.
“Alhamdulillah, kini saya bergerak selangkah ke hadapan dengan menyewa dan membuka kedai menggunakan modal sendiri lebih RM20,000 bagi menjual kopi serta kek. Kek saya buat di rumah dan hantar pada pekerja di kedai.”
Bagaimanapun ada segelintir pihak yang tak berkenan dengan kisah inspirasi Nur Syuhada ini, seorang lelaki memberikan komen sinis yang telah mengundang kecaman orang ramai.
“Keluaran universiti sekarang hanya layak jual kek dan kopi je la kot”
Jika diperhatikan ramai lagi graduan muda yang ‘lari bidang’ daripada apa yang mereka belajar, seperti yang selalu orang katakan, ia dah menjadi lumrah di zaman sekarang asalkan rezeki itu halal dan boleh survive.
Namun begitu, ada seseorang netizen yang warganet anggap seperti dari generasi ‘lama’ memperlekehkan kejayaan graduan tersebut.
Ia menjadi perhatian selepas ada netizen kongsikan hal ini di Twitter dengan memberikan teguran dan sokongan semangat kepada mana-mana generasi muda.
Kebanyakan mentaliti generasi terdahulu ni minda mereka tersangkut – Netizen
Menurut @aidi_ezzhar, Nur Syuhadah bukanlah satu-satunya graduan yang ‘lari bidang’, namun tidak semestinya ilmu pengetahuan yang diraih ketika menuntut di universiti tidak digunakan sepenuhnya, ia juga boleh digunakan dalam perniagaan.
Katanya lagi, tidak semestinya seseorang itu menamatkan pengajian dalam satu bidang, dia perlu ke bidang tersebut. Malah, perniagaan juga merupakan satu sunnah.
Ramai je zaman ni yang kerja tak berkaitan pun dengan bidang yang mereka pelajari. Tapi sedikit sebanyak ilmu yang dipelajari dekat universiti dapat digunakan dalam perniagaan.
— Aidi Ezzhar (@aidi_ezzhar) December 8, 2021
Thread yang telah meraih lebih daripada 8,000 jumlah perkongsian ini membuatkan ramai anak muda menceritakan situasi yang sama, ada juga yang kerja lari bidang dan ada juga yang sampai tinggalkan impian dan cita-citanya atas desakan keluarga untuk bekerja dalam sesuatu sektor.
Rezeki datang daripada pelbagai cara, kalau bab rezeki dalam konteks kerja ini, bidang kita belajar itu bukanlah penentu masa depan kita, kadang-kadang apa yang ditetapkan itu adalah satu peluang yang jauh lebih baik daripada apa yang kita impikan.