Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) mengejutkan orang ramai setelah melantik pemain ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams sebagai Pro-Canselor untuk tempoh dua tahun. Pelantikan rasmi atlet kelahiran Auckland berusia 39 tahun itu bermula pada 1 November lalu.
Menurut kenyataan di laman Facebook AIU, Sonny Bill Williams dianggap figura yang sangat sesuai untuk mencerminkan nilai-nilai teras universiti termasuk ketabahan dan semangat untuk mencapai kecemerlangan.
Difahamkan, kehadiran beliau juga dijangka bukan sahaja menaikkan semangat pelajar, tetapi turut membantu AIU meneroka lebih banyak projek yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Sonny, yang pernah memenangi Piala Dunia Ragbi sebanyak dua kali, memeluk Islam pada tahun 2008.
Artikel berkaitan: “Lain Macam Aura” – Bekas Pemain Ragbi Sonny Bill Sertai Alif Satar Bersama Geng Subuh Macam Jumaat
Artikel berkaitan: “Pakai lengan panjang dalam masjid” – Sonny Bill Williams Dikecam Tak ‘Cover’ Tatu Ketika Bertarawih
Dalam dunia sukan, beliau dikenali sebagai ikon global yang bukan sahaja cemerlang di atas padang, tetapi juga aktif dalam aktiviti kemanusiaan dan pemerkasaan belia.
Selain ragbi, Sonny juga seorang peninju heavyweight profesional, membuktikan kehebatan beliau dalam pelbagai bidang sukan.
Tambahan pula, Sonny memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Gunaan (Pengurusan Sukan) dari Politeknik Otago, New Zealand, menjadikan beliau lebih daripada sekadar atlet.
Menariknya, pada Februari lalu, beliau menghadiahkan autobiografinya, You Can’t Stop the Sun from Shining, kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa sesi makan tengah hari bersama.
Pelantikan Sonny ini adalah langkah besar buat AIU. Kehadirannya bukan sahaja bakal menginspirasi pelajar, malah mengangkat reputasi universiti ke peringkat lebih tinggi.
Memang teruja tengok tokoh hebat macam ini berkhidmat di Malaysia! 🎉
Sumber: NST