Kelmarin, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ProRakyat) telah mengemukakan Resolusi Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memohon kerajaan agar dapat membenarkan tuntan pengeluaran simpanan KWSP antara RM 10,000 hingga RM30,000 secara ‘one-off’.
Jumlah caruman sangat sikit – Anwar Ibrahim
Resolusi itu disampaikan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin. Menurut ProRakyat, ia adalah langkah untuk jangka pendek yang boleh dipertimbangkan kerajaan bagi memastikan rakyat tidak ‘merana’ kerana tiada wang.
Menjawab permintaan itu, semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan nasib dan masa depan pencarum sebelum membenarkan pengeluaran sekali lagi simpanan daripada KWSP.
Memetik laporan Buletin TV3, beliau menyatakan bahawa adalah lebih baik jika kerajaan menggunakan alternatif lain yang lebih berkesan dalam membantu rakyat yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan sebelum ini.
“Kalau kita tengok orang yang ada simpanan KWSP ini, duitnya sedikit sekali. Jadi saya perlu timbang di antara keperluan mendesak dan masa depan mereka.”
“Saya periksa jumlah (simpanan KWSP) yang majoriti pencarum ada, jumlahnya sangat kecil. Jadi, saya bimbang masa depan mereka, lebih baik kerajaan cari jalan lain untuk bantu mereka.”
Sebelum ini, pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) memeterai usaha sama dengan Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) bagi menyokong Tuntutan Pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar.
Ia berikutan dengan aduan yang mereka terima seperti masalah hutang tertunggak, kesusahan dan taraf ekonomi rakyat yang teruk pada waktu pasca pandemik ini.
Baca : Kalau Nak Bersara Dengan Selesa, Kena Ada RM1 Juta Dalam KWSP