Ramai jemaah haji yang berada di Tanah Suci sekarang ini sedang ‘berperang’ dengan suhu panas melampau sehingga mengakibatkan ada jemaah yang meninggal dunia.
Lebih 550 jemaah haji meninggal dunia
Menerusi laporan Sinar Harian, lebih 550 jemaah meninggal dunia pada musim haji kali ini berikutan suhu ekstrem di Tanah Suci. Sebahagian besar daripada mereka juga ‘pergi’ kerana penyakit yang berkaitan dengan strok haba.
Artikel berkaitan: “Siap berjoget” – Jemaah Haji Indonesia Buat Aksi Melampau Di Tanah Suci
Artikel berkaitan: Banyak Buat Content, Ramai Mula Pertikai Niat Raffi Ahmad Tunaikan Haji
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 60 jemaah warga Jordan turut meninggal dunia termasuklah negara Iran, Indonesia dan Senegal menjadikan rekod terbaharu mencecah 577 orang. Selain itu, pihak berkuasa kesihatan Saudi juga merawat lebih 2,000 jemaah yang diserang strok haba namun jumlah itu tidak dikemaskini sejak Ahad lalu (16 Jun 2024).
Suhu makin meningkat
Lebih membimbangkan, suhu sekitar Tanah Suci telah meingkat sebanyak 0.4 darjah Celcius pada setiap dekad dan Pusat Meteorologi Kebangsaan di Riyadh merekodkan suhu di Masjidil Haram mencecah 51.8 darjah Celcius pada Isnin lalu.
Keadaan terik melampau itu turut menyebabkan kebanyakan jemaah cuba menyejukkan tubuh badan dan kepala mereka dengan menyiram air botol yang diberikan oleh sukarelawan yang berada di situ. Pihak berkuasa kesihatan tempatan menyarankan para jemaah haji supaya memakai payung untuk mengurangkan risiko terkena strok haba.
Tular video jenazah di tepi jalan
Pihak berkuasa Saudi juga perlu berdepan dengan masalah kehadiran ‘jemaah tidak diundang’ pada setiap tahun yang cuba menunaikan ibadah itu tanpa permit haji yang sah dan hanya menggunakan visa pelancong yang jauh lebih murah.
Tular juga di media sosial beberapa video penemuan jenazah di tepi jalan didakwa disebabkan cuaca dan keadaan yang terlalu sesak dan mungkin tidak mempunyai permit haji yang sah.
Disebabkan diri mereka tidak berdaftar sebagai jemaah haji yang sah, ia telah mengancam nyawa mereka kerana tidak diuruskan dengan baik seperti jemaah berdaftar yang lain.
Menteri Kesihatan, Fahd Abdul Rahman al-Jalajel bagaimanapun berkata, mereka sentiasa bersedia untuk memberikan rawatan pantas bagi mencegah penularan penyakit dan ancaman lain.
Sebuah hospital maya menyediakan perkhidmatan kepada lebih 5,800 jemaah terutamanya untuk penyakit berkaitan strok haba yang membolehkan tindakan segara diambil bagi mengurangkan potensi peningkatan kes.
Moga urusan para jemaah dipermudahkan…
Sumber: Sinar Harian