Kerjaya sebagai juruterbang memerlukan kecekapan yang tinggi, kerana mereka bukan saja perlu mengendalikan sebuah kenderaan yang besar — malah perlu memastikan keselamatan penumpang dan anak kapal terjamin.
Meskipun syarat umum dan kelayakan menjadi juruterbang dilihat mudah, namun ada beberapa halangan yang perlu dilepasi sebelum anda berjaya mendapatkan satu-satu lesen penerbangan.
Antaranya perlu duduki peperiksaan, dan lengkapkan jam penerbangan — barulah boleh bergelar seorang juruterbang terlatih dan berkemahiran.
Tapi lain ceritanya di Pakistan, apabila CNN melaporkan hampir separuh daripada juruterbang aktif di negara itu yang berkhidmat dengan Pakistan International Airlines (PIA) tidak memiliki lesen penerbangan yang sah!
Bukan itu saja, mereka juga didapati menipu dalam peperiksaan dengan cara menghantar wakil lain untuk menjawab peperiksaan. Pengalaman menerbangkan pesawat juga hampir nothing, zero, nada!
Susulan itu, PIA kini berdepan kesukaran kerana terpaksa menggantung tugas semua juruterbangnya yang didapati memiliki lesen ‘terbang’ serta merta.
Dapatan mengejutkan itu diperoleh hasil siasatan bebas, selepas kejadian pesawat terhempas di sebuah kawasan perumahan di Karachi bulan lalu yang mengorbankan hampir seratus penumpang.
Difahamkan, 28 daripada 262 juruterbang palsu itu kini berdepan pemecatan dan yang lain turut akan dihadapkan ke pengadilan dengan pertuduhan jenayah.