Lapangan terbang Halifax di Kanada ditutup buat sementara waktu hari ini selepas sebuah pesawat tergelincir dari landasan dan sebahagian daripadanya terbakar.
Memetik laporan ABP Live, pesawat itu tiba dari St John dan mengalami masalah semasa mendarat. Salah seorang penumpang, Niiki Valentine berkata, salah satu tayar pesawat itu tidak berfungsi dengan baik semasa mendarat.
Insiden itu membabitkan Air Canada 2259 yang dikendalikan oleh PAL Airlines.
Pesawat itu berada pada sudut 20 darjah ke kiri dan ketika kejadian itu, terdengar bunyi yang agak kuat seakan-akan hempasan ketika sayap pesawat mula tergelincir di sepanjang landasan.
Pesawat itu melencong dari landasan ketika juruterbang cuba menghentikan pesawat. Valentine juga menambah, “pesawat itu bergegar sedikit dan kami mula melihat api di sebelah kiri pesawat dan asap mula masuk ke tingkap.”
Walau bagaimanpun, setakat artikel ini ditulis, pihak lapangan terbang tidak menyatakan bilangan orang di dalam pesawat itu, namun mereka telah dipindahkan dan dibawa ke hangar untuk diperiksa oleh paramedik.
Valentine menganggarkan kapasiti pesawat itu adalah kira-kira 80 penumpang dengan kira-kira 20 baris tempat duduk dan sepasang tempat duduk di kedua-dua belah lorong. Semua tempat duduk kebanyakannya diduduki dan mengambil masa sehingga dua minit untuk mengeluarkan semua orang dari pesawat.
Baca: Kegagalan Fungsi Gear Pendaratan Pada Pesawat Mungkin Jadi Punca Nahas Jeju Air Di Korea