Aktivis masyarakat, Lando Zawawi yang pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mendedahkan beliau tidak jadi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini gara-gara masalah kewangan yang dihadapi olehnya.
Menerusi sesi siaran langsung di media sosialnya, Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi berkata, banyak wangnya habis ketika bertanding di Parlimen Tanjung Karang pada PRU15 dan dia berasa tertipu dengan parti yang diwakilnya.
Menurut laporan Harian Metro, Lando berharap agar pengalaman dirinya tersebut menjadi satu teladan kepada semua calon di luar sana agar berhati-hati dengan parti politik.
Lando turut berkongsi perbualannya dengan salah satu parti semasa PRU 15 tentang bajet yang kemudiannya parti berkenaan memintanya untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri.
Tambahnya lagi, dia perlu menggunakan kos yang besar yang bergerak atas nama Brotherhood dan pendapatannya pun atas usaha pergerakan berkenaan.
“Saya disuruh guna duit sendiri dulu dan dikira kemudian”
Menurut Lando lagi, segala perbelanjaan ketika PRU15 menggunakan duitnya terlebih dahulu dan lebih mengecewakan lagi, selepas keputusan diumumkan, parti berkenaan terus senyap dan mereka yang bekerja tidak mendapat bayaran.
Dakwa Lando lagi, sehingga kini tenaga kerja yang dipanggil ranting parti menuntut RM20,000 daripada parti berkenaan, manakala duit yang telah dikeluarkan sendiri olehnya iaitu sekitar RM70,000 hingga RM80,000 belum dilunaskan.
Tambahnya lagi, surat telah dihantar ke Presiden parti berkenaan namun apabila semakan dibuat, bajet yang sepatutnya ada telah habis sebelum dirinya dicalonkan.
Menurut Lando, dia dihubungi pihak media dan penyokongnya yang bertanya penyertaan dalam PRN ini. Malah, terdapat tiga parti yang telah membuat tawaran namun pendiriannya tetap sama, iaitu tidak akan berparti sampai bila-bila.
Lando berkata, mana-mana universiti atau sekolah yang mana masih tak dapat bantuan untuk menyelesaikan masalah jalan berlubang bolehlah menghubunginya kerana ada peruntukan untuk mereka.
Baca : “Saya dalam fasa explore diri” – Gaya Rambut Disamakan Dengan Siti Kasim, Ain Husniza Beri Respon