Tahun baru ini, kita dapat saksikan dua tragedi menimpa Jepun, pada 1 Januari, mereka diduga dengan bencana gempa bumi, keesokannya satu tragedi kemalangan melibatkan kapal terbang pula berlaku yang mengorbankan 5 nyawa.
Hari ini, satu lagi tragedi berlaku di negara matahari terbit itu apabila seorang wanita dikatakan telah menikam 3 orang lelaki di dalam kereta api di Stesen Akihabara, Tokyo.
Artikel berkaitan: Didakwa Meroyan, Wanita Nyaris Lempar Bayi Di Laluan Kereta Api
Artikel berkaitan: “Gegaran 20-30 saat” – Rakyat Malaysia Cerita Keadaan Terkini Selepas Gempa Bumi Di Jepun
Menurut Reuters, Jabatan Polis Metropolitan Tokyo menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11 malam waktu tempatan yang mengatakan wanita itu telah menyebabkan kecederaan dengan menggunakan pisau.
Difahamkan, insiden tersebut berlaku di laluan Yamanote, salah satu laluan pengangkutan paling sibuk di bandar itu.
Wanita itu ditahan dan keadaan tiga lelaki yang cedera masih belum dapat dipastikan, agensi berita Kyodo bagaimanapun melaporkan bahawa tiada seorang pun daripada mangsa yang mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.
Syarikat Kereta Api Jepun Timur mengeluarkan kenyataan bahawa laluan Yamanote dihentikan seketika kerana “masalah pada kereta api”.
Sebagai info, Akihabara merupakan bandar di Jepun yang sinonim dengan peralatan elektronik serta permainan video dan merupakan antara bandar tarikan pelancong di Tokyo.
Sumber: Reuters