Jakarta dilanda banjir teruk sejak beberapa hari lalu, dan angka kematian terkini dilapor meningkat kepada 60 orang.
Yang menyedihkan, mangsa yang menjadi korban dalam bencana alam ini bukan hanya manusia — bahkan juga seekor kuda.
Kompas melaporkan, ia ditemukan mati dipercayai akibat keletihan — selepas dikerah oleh tuan penyewanya untuk berulang-alik membawa mangsa meredah air banjir di kawasan Jl. Kayu Gede di selatan Tangerang, Banten.
Saksi berkata, ketika kejadian air banjir dikatakan setinggi paras dada. Akibat membawa terlalu banyak barangan berat, kuda tersebut kemudian terjatuh secara tiba-tiba sebelum disahkan mati.
Mayat kuda malang itu kemudiannya dibawa ke lokasi lain oleh pihak berkuasa agar tidak mengganggu kelancaran lalu lintas.
Pengangkutan delman, iaitu salah satu pengangkutan tradisional menggunakan khidmat kuda merupakan kebiasaan di kawasan tersebut.