Pernah tak anda bayangkan kucing turun dari langit guna payung terjun? Bunyi macam cerita kartun, kan?
Percaya atau tidak, perkara ini benar-benar berlaku di Sarawak pada tahun 1960. Ini ialah kisah luar biasa yang dikenali sebagai Operasi Cat Drop, satu misi unik yang dilakukan untuk mengawal populasi tikus di kawasan pedalaman Bario.
Operasi Cat Drop merupakan satu misi luar biasa yang dijalankan pada tahun 1960 di Bario, kawasan pedalaman di Sarawak, Malaysia (ketika itu masih di bawah pentadbiran British). Tujuan utama operasi ini adalah untuk mengatasi masalah pembiakan tikus yang serius akibat gangguan ekologi yang tidak disengajakan.
Latar belakang operasi
Pada tahun 1950-an, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaksanakan program penyemburan diklorodifeniltrikloroetana (DDT) secara besar-besaran di Borneo untuk membasmi nyamuk pembawa malaria. Meskipun berkesan mengurangkan kes malaria, penggunaan DDT menyebabkan kesan sampingan yang tidak dijangka.
Ia termasuklah ulat atap membiak tanpa kawalan, menyebabkan atap rumah runtuh. Cicak yang memakan serangga beracun mati akibat pengumpulan DDT. Kucing yang memakan cicak juga mati, menyebabkan populasi tikus meningkat secara mendadak.
Susulan itu, tikus-tikus ini merosakkan tanaman dan menyebarkan penyakit seperti taipus dan wabak.
Artikel berkaitan: Kucing Ditangkap, Cuba Seludup Dadah Ke Dalam Penjara Di Costa Rica
Artikel berkaitan: Sejarah 40 Tahun Lalu Berulang, Doktor Warga M’sia Dedah Sekali Lagi Terperangkap Akibat Perang
Op Cat Drop untuk basmi tikus!
Bagi mengatasi masalah ini, pihak berkuasa tempatan di Kuching mengumpulkan 23 ekor kucing, dengan bantuan Tentera Udara Diraja British (RAF).
Kucing-kucing ini dihantar ke Bario menggunakan payung terjun dari pesawat Blackburn Beverley dan setiap kucing diletakkan dalam bakul khas untuk memastikan pendaratan yang selamat.
Tak boleh bayangkan dalam kotak ada bulus-bulus yang comel!
Selain kucing, lebih 3,000 kilogram bekalan turut dihantar bersama, termasuk benih tanaman dan peralatan pertanian.
Ia berjaya!
Operasi ini berjaya mengurangkan populasi tikus dan mengembalikan keseimbangan ekologi di Bario. Namun, ia juga menjadi contoh evergreen tentang kesan sampingan yang tidak dijangka akibat campur tangan manusia dalam alam sekitar.

Kisah ini sering dirujuk dalam bidang pengurusan ekosistem dan pemikiran sistemik, mengingatkan kita bahawa setiap tindakan terhadap alam boleh membawa implikasi yang luas dan tidak dijangka.
Projek hampir sama
Selain Operasi Cat Drop, terdapat juga beberapa projek lain yang melibatkan penghantaran haiwan melalui udara. Sebagai contoh, pada Oktober 2015, tersebar satu rakaman video yang didakwa menunjukkan proses penurunan memerang dari udara bagi tujuan meningkatkan kualiti air di kawasan tertentu.
Di Amerika Syarikat pula, Bahagian Sumber Hidupan Liar Utah pernah melaksanakan projek pelepasan ikan trout ke dalam tasik dan sungai di kawasan tinggi. Menariknya, ikan-ikan kecil tersebut dijatuhkan terus dari pesawat yang terbang pada ketinggian antara 100 hingga 150 kaki tanpa menggunakan payung terjun.
Pengharaman DDT
Amerika Syarikat telah mengharamkan penggunaan DDT selepas menerima testimoni berkenaan kematian kucing di Bario serta insiden-insiden lain yang berkaitan. Larangan penggunaan DDT di peringkat global pula dimeterai pada tahun 2001.
Kini, DDT terbukti boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti kanser payudara dan kanser lain, ketidaksuburan lelaki, kadar kelahiran rendah, keguguran, serta kerosakan organ pada manusia. Fakta ini tidak dapat disangkal lagi.
Namun begitu, terdapat usaha yang terancang untuk mengembalikan penggunaan DDT bagi mengawal malaria di benua Afrika dan Asia. Berdasarkan kesan buruk yang dibawa oleh DDT, masyarakat global perlu sentiasa berwaspada terhadap cubaan membawa semula bahan ini.
Sumber: Forces News, Wikipedia, The Borneo Post