Sebuah tempat letak kereta di ibu kota Thailand, Bangkok, mendapat perhatian ramai selepas ada yang ternampak pucuk-pucuk hijau tumbuh di atas ratusan bumbung dan bonet teksi terbiar yang diparkir di situ.
Memetik laporan BBC, para pekerja di Ratchaphruek Taxi Cooperative mengambil inisiatif membina sebuah kebun sayur dengan menggunakan bumbung-bumbung teksi mereka yang diabaikan. Difahamkan, ini adalah salah satu cara mereka membantu para pemandu teksidan pekerja lain yang kehilangan mata pencarian susulan penularan wabak pandemik COVID-19.
Kebun sayur terbabit dibina dengan menebarkan black bin liner diatas frame buluh sebelum menutupnya dengan tanah. Pelbagai jenis sayuran ditanam di situ termasuklah cili, terung dan timun.
Selain diharapkan mampu meringankan beban pekerja-pekerja teksi yang kehilangan kerja, segala sayur berlebihan juga difahamkan akan dijual di sebuah pasar tempatan.
Jelas Thapakorn Assawalertkun, salah seorang pemilik syarikat yang melakukan inisiatif terbabit, ia adalah langkah terakhir mereka selepas industri teksi terjejas teruk dek perintah kawalan pergerakan ketat yang dilaksanakan kerajaan Thailand bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Menanam sayur di atas bumbung tak akan jejaskan teksi kerana kebanyakan teksi yang kami gunakan memang sudah mengalami kerosakan terus seperti enjin rosak dan tayar pancit. Tiada apa yang kami boleh buat,” katanya.
Lapor Sinar Harian, sekurang-kurangnya 200 teksi diletakkan di sebuah tapak letak kereta di kawasan Koperasi Teksi Ratchapruek di Bang Waek Road sejak setahun lalu. Teksi-teksi terbabit ditinggalkan oleh pemandunya selepas mereka tak lagi mampu mengendalikannya akibat pandemik COVID-19.
Sumber: BBC, Sinar Harian
Baca: Thailand Guna Sampel Peluh Ketiak Untuk ‘Detect’ Covid-19, Dikatakan Mempunyai 95% Ketepatan!