Misi aman yang dibawa oleh Global Sumud Flotilla (GSF) 2025 sejak beberapa hai lalu menjadi perhatian dunia, mereka kini sudah memasuki zon merah. Konvoi kapal ini telah membawa aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, berlayar dengan tekad untuk menyalurkan bantuan ke Gaza walaupun bakal berdepan dengan risiko besar.
Seperti kita semua maklum, laporan terkini mengesahkan bahawa beberapa kapal daripada flotila itu telah dipintas dan ditahan oleh tentera Israel.
SHIPS INTERCEPTED AND CAPTURED:
ALMA, ADARA, SIRIUS.
THE REST ARE STILL SAILING. 40 NAUTICAL MILES OFF THE GAZA COAST.
— Global Sumud Flotilla ✨ (@GSMFlotilla) October 1, 2025
Kapal Alma, Adara dan Sirius merupakan antara kapal terawal yang dipintas tentera Israel, media antarabangsa turut melaporkan bahawa banyak kapal lain lagi yang turut menjadi sasaran. Menurut laporan sumber, dalam tempoh artikel ini ditulis, sebanyak 17 buah kapal telah dipintas.
Angka itu bagaimanapun terus meningkat, apabila pada hari ini, secara keseluruhan jumlah kapal yang ditahan dilaporkan mencecah 20 daripada 30 buah kapal yang melibatkan ratusan aktivis daripada pelbagai negara, lapor MAPIM.
Berikut adalah kronologi yang merangkumkan perjalanan mereka sejak mula berlepas sehinggalah ke saat genting ditahan oleh Israel.
Pelancaran Global Sumud Flotilla 2025
Pelarancan rasmi misi Global Sumud Flotilla (GSF) berlangsung pada 31 Ogos 2025 dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol, melibatkan sebanyak 24 kapal dengan lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara, termasuklah 15 orang wakil Malaysia, menurut Astro Awani.
Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM), MAPIM Malaysia dan Cinta Salam Malaysia bersama rakan-rakan NGO. Kehadiran mereka adalah sebahagian daripada kempen global yang menuntut membuka laluan bantuan ke Gaza serta penghentian serangan segara.
Walaupun pelayaran rasmi bermula dari Barcelona, sebahagian delegasi Malaysia telah menyertai flotila pada awal bulan September, termasuk kumpulan kedua yang dijadualkan berlepas dari pelabuhan Itali pada 4 September lepas dan kumpulan ketiga dari Tunisia.
Artikel berkaitan: ZRA Strim Kirim Voicenote, Maklumkan Kapal Didekati Israel & Pihak IDF Beri 2 Pilihan – Lobak Merah
Artikel berkaitan: “Dalam isu ni kita kena bersama” – Aktivis Mohon Netizen Jangan Politikkan Isu, Dedah PMX Sudah Banyak Bantu Sumud Nusantara – Lobak Merah
Serangan dron
Pada 8 dan 9 September, ketika flotila singgah dan berlabuh di Tunisia, kapal-kapal mereka dilaporkan menjadi sasaran serangan dron. Serangan tersebut menyebabkan berlakunya kebakaran dan kerosakan pada beberapa kapal. Serangan ini juga menandakan bermulanya ancaman sebenar ke atas flotila ketika mereka sudah memasuki Zon Kuning, iaitu kawasan yang dikenal pasti berisiko sederhana sepanjang pelayaran.
Antara yang terjejas ialah kapal Alma yang dinaiki oleh sukarelawan Malaysia. Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), iaitu Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman membuat hantaran melalui Thread pada pagi Rabu menjelaskan bahawa tiada kecederaan berlaku meskipun ancaman mereka semakin meningkat.
Jadi disebabkan serangan yang telah berlaku, misi GSF terpaksa berhenti seketika. Tempoh persinggahan di Tunisia yang pada asalnya dijangka singkat akhirnya berlarutan hampir seminggu. Pihak penganjur berdepan pelbagai cabaran logistik termasuk masalah teknikal pada kapal, kekurangan bahan api di pelabuhan Bizerte, birokrasi tempatan serta cuaca buruk.
Menurut petikan daripada Novara Media, beberapa bot terpaksa dibatalkan kerana tidak layak berlayar, menyebabkan sebahagian peserta menarik diri daripada misi. Misi flotila ini juga dilaporkan sudah ketinggalan hampir 10 hari daripada jadual asalnya.
Setelah isu teknikal dan logistik diselesaikan, konvoi mula bergerak semula. Kapal utama dari Barcelona dan beberapa kapal dari Sicily bergabung di laut, manakala kapal lain dari Tunisia menyertai perjalanan seterusnya. Kesemua bot dijadualkan bertemu kembali di titik pertemuan yang sama sebelum meneruskan pelayaran ke arah Greece.
Tapi tak lama selepas itu, mereka sekali lagi berdepan dengan serangan di perairan Greece. Penganjur GSF juga memaklumkan bahawa flotila telah menjadi sasaran serangan dron sebanyak 3 kali. Serangan tersebut juga dilaporkan melibatkan ‘unidentified drones and communications jamming’, dengan aktivis mendakwa sekurang-kurangnya 13 letupan kedengaran di sekitar kapal.
Aktivis hak asasi manusia Jerman, Yasemin Acar berkata melalui video di Instagram bahawa lima kapal telah diserang.
“Kami hanya membawa bantuan kemanusiaan. Kami tidak memiliki senjata. Kami tidak mengancam sesiapa. Israel yang membunuh ribuan orang dan menyebabkan seluruh penduduk kebuluran,” katanya.
Walaupun komunikasi terjejas akibat serangan, tiada korban jiwa dilaporkan dalam ketiga-tiga insiden ini. Malah, masalah komunikasi yang dihadapi juga kembali pulih ketika dalam perjalanan. Mereka tetap komited dan meneruskan misi kemanusiaan ini demi menolak pengepungan Gaza.
Mula memasuki zon merah
Pada 29 September, GSF dilaporkan sudah menghampiri perairan Mesir, khususnya di utara Marsa Matrouh sebelum dijangka bergerak ke arah Alexandria. Ketika itu, kapal utama mereka iaitu Ohwayla dan All In, hanya berbaki sekitar 366 batu nautika, iaitu bersamaan dengan 678 kilometer daripada Gaza dengan jangkaan tiba dalam tempoh tiga hingga empat hari.
Penganjur GSF mengingatkan bahawa dalam masa dua hari sahaja lagi, flotila akan memasuki Zon Merah, iaitu kawasan berisiko tinggi yang berkemungkinan besar menyaksikan tindakan keras rejim Zionis.
“Kami menjangkakan Zionis akan melakukan jenayah perang terhadap kami pada bila-bila masa,” menurut kenyataan rasmi GSF.
Menurut Astro Awani, tepat jam 8.58 malam, 1 Oktober 2025, flotila GSF mula memasuki zon merah, iaitu kawasan paling berisiko dan kritikal kerana beberapa misi terdahulu sejak tahun 2010 pernah digagalkan oleh tentera Israel di kawasan yang sama.
Kapal dikelilingi Israel
Namun seperti yang dijangkakan, pihak Sumud Nusantara Command Centre yang berpangkalan di Sepang, Selangor telah menerima 10 laporan dari flotila Malaysia, di mana Israel telah menghalang dan mengepung kawasan flotila yang sedang berlayar.
Wakil Malaysia, Zizi Kirana di pautan Threads peribadinya mengesahkan beberapa batu nautika di hadapan flotila, kelihatan banyak kapal mula membentuk formasi, seolah-olah mahu menghalang laluan misi kemanusiaan ke Gaza.
“Kami ingin maklumkan kepada semua bahawa ini adalah cubaan blockade yang jelas terhadap misi bantuan. Kami menyeru dunia untuk menyebarkan perkara ini dan menolak sekatan tidak berperikemanusiaan ini,” kata Zizi.
Dan pada ketika itulah, flotila GSF mula dikepung dan dipintas tentera Israel. Sekitar jam 3.15 pagi, dilaporkan tiga kapal telah diceroboh, manakala 12 kapal lain dipintas secara agresif.
Antara kapal yang ditahan pada mulanya adalah Alma dan Sirius, kedua-duanya membawa tujuh delegasi Malaysia. Di atas kapal Alma terdapat Musa Alnuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil, manakala kapal Sirius dinaiki oleh Haikal Abdullah, Muaz, Zulfadhli dan Rusydi.
Lima lagi kapal yang turut dipintas ketika itu juga membawa aktivis Malaysia, menambah kebimbangan terhadap keselamatan mereka.
Aktivis dan sukarelawan ditahan oleh Israel
Tidak lama selepas insiden pemintasan itu, beberapa wakil Malaysia disahkan telah ditahan secara tidak sah oleh Israel di perairan antarabangsa.
“Jika kalian menonton video ini, bermakna saya Musa Nuwayri (Delegasi Malaysia) di Kapal Alma sudah ditahan secara tidak sah oleh rejim Israel di perairan antarabangsa.”
Itulah mesej rakaman yang tular hari ini, dipercayai video tersebut telah dirakam awal oleh aktivis kemanusiaan Malaysia, Musa Nuwayri, sebelum beliau ditahan oleh tentera laut Israel. Selepas video beliau tular, muncul lagi beberapa mesej rakaman awal daripada wakil Malaysia.
Penahanan ini bukan hanya melibatkan delegasi Malaysia. Tokoh antarabangsa iaitu aktivis alam sekitar dan hak asasi manusia, Greta Thunberg juga ditahan oleh Israel. Menurut Astro Awani, kapal yang dinaikinya bersama flotila telah dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa.
Kementerian Luar Israel kemudian mengesahkan bahawa beberapa kapal dihentikan dan penumpangnya, termasuklah Greta, dibawa ke pelabuhan Israel. Dalam kenyataan rasmi, pihak berkuasa mengesahkan bahawa semua aktivis berada dalam keadaan selamat dan bakal melalui proses deportasi.
Masih ada kapal berjaya elak Israel
Meskipun sebahagian besar kapal telah dipintas oleh Israel, masih ada beberapa kapal flotilla yang berjaya melepasi halangan tentera Israel dan meneruskan pelayaran mereka.
Dalam masa yang sama, tindakan Israel memintas dan menahan aktivis di perairan antarabangsa telah mencetuskan kecaman hebat daripada komuniti antarabangsa. Bukan rakyat dan pemimpin negara kita sahaja, Presiden Columbia, Venezuela dan Turkiye turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang dilabelkan sebagai ‘lanun pengecut’.
Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berdiam diri susulan tindakan Israel yang menahan aktivis dan sukarelawan Malaysia.
“Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan penting untuk rakyat Gaza. Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Sementara itu, beberapa kapal seperti Morgana dan All In pada awalnya dilaporkan berjaya mengelak pintasan Israel. Kedua-dua kapal tersebut sebenarnya diarahkan untuk berhenti, namun telah melanggar arahan Israel dan terus mara menuju ke perairan Gaza. Selain itu, dilaporkan bahawa 13 kapal telah ditahan manakala 30 buah kapal masih berjaya meneruskan pelayaran.
Namun tidak lama kemudian, kapal Morgana juga dipintas dengan lokasinya yang terakhir dikesan hampir 50 kilometer dari Gaza. Menurut laman langsung Global Sumud Flotilla Tracker, kapal Mikeno yang sebelum ini hilang dari radar muncul semula di perairan Gaza dengan hanya 9.3 batu nautika dari perairan Gaza, menjadikannya kapal paling hampir berjaya menembusi kepungan tentera Israel.
Dengan makin banyaknya video penahanan Israel terhadap flotila GSF yang datang secara aman, semakin besar gelombang solidariti dan kecaman terhadap Israel di seluruh dunia. Protes besar-besaran dilaporkan berlaku di pelbagai kota utama termasuk di Eropah, Afrika Utara, Asia Barat, Turkiye, Buenos Aires dan Milan, Itali. Ribuan orang turun ke jalanan bagi menyatakan sokongan terhadap flotila kemanusiaan serta menuntut pembebasan aktivis yang ditahan.
Situasi ini sekali lagi membuktikan bahawa misi Global Sumud Flotilla telah menjadi titik tumpuan dunia dalam menentang sekatan zalim Israel ke atas Gaza. Dunia kini sedang memerhati Israel dengan lebih serius dan suara kali ini bergema bersama demi misi kemanusiaan untuk rakyat Gaza yang sudah lama ditindas oleh Israel.
Sumber: Al Jazeera, Astro Awani, Berita RTM