Konvoi kemanusiaan antarabangsa, Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan telah berlayar dari Tunisia dalam misi mencabar sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza serta menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.
Menurut laporan Al Jazeera, GSF yang berlepas dari Pelabuhan Bizerte pada Sabtu lalu disertai lebih 40 kapal membawa antara 500 hingga 700 aktivis dari lebih 40 negara.
Antara yang turut menyertai pelayaran itu ialah Ahli Parlimen Perancis berketurunan Palestin, Rima Hassan, yang mengumumkan penyertaannya selepas menaiki kapal di Tunisia.
“Our governments are responsible for the continuation of the genocide in Gaza,” tulisnya di platform X.
Dalam pada itu, GSF turut menerima sokongan daripada beberapa aktivis terkenal antarabangsa termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, yang sebelum ini sering menjadi sasaran kecaman pegawai Israel kerana pendiriannya menyokong Palestin.
Dalam kenyataan sama, penganjur GSF memaklumkan dua kapal mereka, Family dan Alma, diserang ketika berlabuh berhampiran Tunisia awal minggu ini, dipercayai dilakukan oleh pihak Israel.
Salah satu kapal dilaporkan diserang menggunakan dron.
Kementerian Dalam Negeri Tunisia turut mengesahkan berlaku satu “serangan yang dirancang” dan siasatan telah dilancarkan.
Bagaimanapun, penganjur GSF menegaskan misi tersebut akan tetap diteruskan walaupun berdepan cubaan sabotaj.
Artikel berkaitan: Fahami Perjuangan Global Sumud Flotilla, Berlayar Demi Harapan Rakyat Palestin
Artikel berkaitan: GSF Sahkan Salah Satu Kapal Yang Membawa Peserta Misi Sumud Flotilla Diserang Dron Di Tunisia

Ini bukan kali pertama Israel bertindak menghalang misi seumpama itu.
Pada Jun lalu, tentera laut Israel menahan kapal Madleen di perairan antarabangsa, merampas bekalan bantuan dan menahan 12 aktivis yang berada di atas kapal tersebut.
Sebuah lagi kapal, Conscience, turut dilapor rosak selepas diserang dron berhampiran perairan Malta pada Mei.
GSF yang mengambil nama daripada perkataan Arab sumud bermaksud ‘ketabahan’ itu disifatkan penganjurnya sebagai antara cabaran paling berani terhadap kawalan Israel di perairan Gaza.
Beberapa artis dan aktivis Malaysia turut menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla atau turut dikenali sebagai Sumud Nusantara ke Gaza, sekali gus menarik perhatian ramai terhadap usaha solidariti ini.
Antara selebriti yang telibat ialah penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Ardell Aryana.
Selain itu, beberapa aktivis dan tokoh tempatan turut serta termasuk Iylia Balqis, Lia Maryam, PU Rahmat (Rahmat Ikhsan), personaliti media sosial Farah Lee, serta influencer ZRA Strim (Zainal Rashid Ahmad).