Dunia seni tanah air kehilangan sebutir lagi permata setelah komposer legenda, Datuk S Atan, disahkan meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannya di Kajang sekitar pukul 3.35 petang tadi.
Berita sedih tersebut disahkan sendiri oleh isterinya, Datin Norizan Yeob, ketika dihubungi pihak media.
“Ya, suami saya sudah tiada. Buat masa ini, saya belum dapat berkongsi maklumat lanjut kerana masih menunggu pihak berkaitan untuk mengesahkan beberapa perkara,” katanya ringkas.
Difahamkan, S Atan menghembuskan nafas terakhir di rumahnya.
Artikel berkaitan: Bakal Jadi ‘Domain Awam’ Lagu-lagu P Ramlee Tamat Tempoh Royalti Tahun Depan
Artikel berkaitan: “Baru tahu” – Tak Sangka! Salah Satu Lagu Raya Nyanyian TokTi Adalah Ciptaan Khir Rahman
Sebelum ini, S Atan pernah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Beliau juga pernah jatuh sakit beberapa kali termasuk mengalami serangan angin ahmar pada 2006 serta masalah buah pinggang pada 2019.
Nama S Atan sememangnya tidak asing dalam industri muzik tanah air. Selama lebih empat dekad, beliau telah menghasilkan lebih 1,000 lagu yang dinyanyikan oleh bintang terkenal seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Sudirman, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid dan Jay Jay.
Malah, karya beliau turut termasuk lagu-lagu raya malar segar yang kekal relevan sehingga kini misalnya Sinaran, nyanyian Datuk Sheila Majid dan Sekuntum Mawar Merah nyanyian Alleycats.
Pemergian beliau pastinya satu kehilangan besar buat industri seni tanah air. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sumber: Harian Metro