Sabtu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global selepas ianya memenuhi tiga kriteria iaitu memberi kesan kepada kesihatan awam, kejadian luar jangka dan risiko penularan merentasi sempadan.
Malah, pada 17 Jun lalu sebanyak 2,103 kes monkeypox dilaporkan di 42 buah negara dengan satu kematian dan dalam tempoh kurang dari dua bulan, bilangan kes telah meningkat kepada 16,836 kes dengan lima kematian melibatkan 74 buah negara pada 22 Julai lalu.
Ekoran dari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan tentang langkah yang diambil bagi menghadapi kemungkinan jangkitan monkeypox di Malaysia. Antaranya:
- Memaklumkan kepada fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta tentang keperluan menotifikasikan kes disyaki dan disahkan monkeypox dengan segera bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan dapat diambil, termasuk mengenalpastik kes kontak rapat.
- Mewujudkan pengawasan sentinel di beberapa buah klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam/lesi kulit.
- Mempertingkatkan kapasiti makmal yang boleh menjalankan pengesanan virus monkeypox, iaitu dua makmal ditambah menjadi 12 makmal iaitu 8 makmal kerajaan dan 4 makmal swasta.
- Mempertingkatkan pengawasan di pintu masuk antarabangsa negara dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, syarikat-syarikat penerbangan dan agensi berkaitan.
- Kerjasama dengan kementerian dan agensi seperti Majils Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelancongan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pengajian Tinggi, pihak badan bukan kerajaan dan lain-lain.
Kenyataan Media Menteri Kesihatan Malaysia 25 Julai 2022
Pengisytiharan Jangkitan Monkeypox Sebagai Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC) Oleh WHO Dan Kesiapsiagaan KKM Menghadapi Kemungkinan Jangkitan Monkeypox Dalam Negara pic.twitter.com/MFHrXsjmwU
— KKMalaysia🇲🇾🩺❤️ (@KKMPutrajaya) July 25, 2022
Selain itu, KKM turut memberitahu beberapa cara jangkitan virus monkeypox ini dapat disebarkan:
- Virus boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi pada kulit sama ada baharu atau yang sudah menjadi kuping atau cairan dari ruam.
- Sentuhan dari haiwan yang dijangkiti sama ada melalui gigitan atau cakaran atau dengan memakan hasil produk haiwan tersebut.
- Sentuhan dari peralatan yang tercemar dengan lesi kulit atau cairannya.
- Individu yang dijangkiti boleh menularkan jangkitan ini kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum berlaku lesi pada kulit sehingga 21 hari bermulanya gejala atau sehingga lesi menjadi kuping dan pesakit tidak lagi bergejala.
Manakala bagi pengembara yang baru tiba dari negara yang mempunyai kes perlu membuat pemeriksaan kesihatan selama tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan seperti demam, keletihan dan sakit kepala.
Untuk info tambahan, penularan kes kali ini dilaporkan berlaku dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan sejenis atau individu dengan risiko tinggi jangkitan seperti pekerja seks dan transgender. Pun begitu, ia bukan penyakit yang eksklusif kepada kumpulan ini kerana ia boleh dijangkiti ahli keluarga melalui sentuhan.