Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak berumur 10 tahun akibat tercekik gula-gula kenyal berbentuk bebola mata. Difahamkan, kanak-kanak tersebut telah membeli gula-gula gummy tersebut dari seorang penjual di luar kawasan sekolahnya di Pulau Pinang.
Difahamkan juga, gula-gula kenyal tersebut turut dijual di platform atas talian seperti TikTok.
Susulan insiden murid tercekik gula-gula tersebut sehingga mengakibatkan kematian, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan menerusi Facebook di mana saiz atau bentuk sesuatu makanan adalah tidak dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.
Namun, bagi konfeksi jeli terkawal dengan saiz dan bentuk yang berdiameter kurang atau sama dengan 45 milimeter, ia hendaklah dilabel dengan label ‘AMARAN: BOLEH MENYEBABKAN RISIKO TERCEKIK’.
Selain itu, perkataan ‘TIDAK SESUAI BAGI KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR 3 TAHUN’ juga perlu dilabelkan pada makanan yang bersaiz besar tersebut.
Artikel berkaitan: JKN Pulau Pinang Rampas Gula-gula ‘Gummy’ Yang Dijual Berhampiran Sekolah Mohamad Fahmi
Artikel berkaitan: Belum Sedarkan Diri Lagi, Murid 10 Tahun Kritikal Tercekik Makan Gula-gula ‘Gummy Mata’
Siasatan pihak KKM mendapati produk gummy mata tersebut telah menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 (Akta 281).
Susulan siasatan tersebut, pihak KKM turut menegaskan bahawa produk tersebut dilarang untuk dijual di semua platform termasuklah di pasaran domestik dan platform atas talian.
Jika masih ada penjual yang menjual produk berkenaan, tindakan penguatkuasaan di mana produk itu dirampas akan dilaksanakan.
Ini kerana makanan jenis itu yang berbentuk bulat dengan tekstur yang keras, kenyal dan kecil mudah tersekat di saluran pernafasan jika tidak dikunyah dengan sempurna.