Hari ini, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah memfailkan saman fitnah terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos serta menuntut ganti rugi melebihi RM1 juta di Mahkamah Tinggi di sini.
Difahamkan, saman berkenaan berhubung dakwaan parti itu telah mengimport perwakilan luar supaya tidak mengundi usul jawatan nombor satu dan dua, tidak dipertandingkan.
Berdasarkan penyata tuntutan yang difailkan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang diadakan pada 14 Januari lalu, Jamal telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Khairy telah membuat kenyataan jahat berhubung isu perwakilan luar pada pengundian parti tersebut.
Selain itu, Jamal turut memuat naik rakaman sidang media itu di akaun media sosialnya yang disertakan tulisan “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan UMNO”.
Menurut Khairy, kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu telah merujuk kepada dirinya dan juga telah menyebut namanya dengan jelas.
Kenyataan itu juga telah menggambarkan KJ adalah seorang pemimpin yang tiada integriti, tidak mempunyai kredibiliti, melakukan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi serta tidak setia pada parti dan pemimpin parti.
Dalam pada itu, KJ turut memohon perintah mahkamah menuntut Jamal untuk membuat dan menerbitkan permohonan maaf secara terbuka di akaun media sosialnya serta akhbar-akhbar utama.
Khairy turut memohon ganti rugi khas sebanyak RM1 juta dan ganti rugi am, teruk serta teladan yang akan ditafsirkan oleh mahkamah. Sementara itu, mahkamah telah menetapkan kes saman tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes pada hari esok di hadapan Timbalan Pendaftar, Nik Nur Amalina Mat Zaidan.
Sumber : Kosmo!, Sinar Harian
Baca : “Jasaku tidak dikenang” – Jamal Yunos Rasa Tidak Dihargai Lepas Kalah PRU15