in

Kisah TS Harussani Zakaria, Mufti Yang Hapuskan Amalan ‘Tabal Jin’ & Mencabar Jin di Istana Perak

Harussani 2

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Semalam (30 Mei 2021), kita digemparkan dengan berita sedih kematian Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, 82, yang sebelum ini dilaporkan menerima rawatan ICU di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas disahkan positif COVID 19.

Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat semalam.


1165867

Allahyarham terdahulu telah dilantik menjadi Mufti Perak sejak tahun 1985 lagi dan pernah juga mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah 2008 selain Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Islam yang membawa gelaran Doktor pada 2010.

Bagi yang tidak mengenali Harussani, ramai yang tak tahu beliau adalah antara orang yang paling lama memegang jawatan Mufti dan cukup lantang dalam menyuarakan pandangan.

Pernah satu ketika dulu juga ramai yang menggelarkan beliau mufti kontroversi kerana ia melibatkan tindakan beliau dalam menghapuskan amalan khurafat dan syirik di Istana Perak.

 

Henti amalan pasang sangkar keliling istana 

Kisah yang disampaikan menerusi Memoir Harussani Zakaria: Dia Akan Jadi Mufti, menceritakan antara tugas terawal beliau selepas dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Harussani dalam bab tujuh memoir tersebut menceritakan bahawa satu hari ketika beliau masuk ke Istana Perak, beliau ternampak alat yang dikenali sebagai ‘sangkar-sangkar’ di keliling istana.

648581

Bila ditanya kepada petugas istana, mereka menjawab ia adalah ‘adat’.

Kalau sultan yang tinggal di istana itu, kenapa kita pasang sangkar-sangkar untuk jin ini? Sultan bukan jin. Sultan adalah manusia. Apakah orang Perak bersultankan jin ke?” kata Harussani.

Harussani kemudian mengarahkan supaya semua sangkar dibuang walaupun perkara itu mendapat bantahan daripada Orang Besar Istana. Amalan menyembelih kerbau dan kepalanya ditanam di bawah tempat mandi pun dibantah juga dihapuskan kerana mengandungi unsur syirik.

 

Mansuh upacara ‘Tabal Jin’ ganti dengan ‘Tabal Pusaka’

Antara tindakannya yang paling kontroversi dan menjadi masalah besar dalam Istana Perak pada ketika itu ialah ‘Tabal Jin’. Menurut Harussani, ia adalah adat menabal jin pada sebelah malam dan siangnya pula Istiadat Pertabalan Sultan Perak.

Ia dipercayai bahawa seseorang Sultan itu didampingi oleh jin-jin.

Istana 1

Berdasarkan ceritanya, amalan ini dimulakan apabila semua orang berpakaian hitam akan masuk ke dalam dewan dan menutup lampu serta hanya menyalakan lilin. Pawang Diraja akan menyempurnakan upacara berkenaan.

Mengetahui akan hal tersebut, Harussani kemudian segera menghadap Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah dan bertanya tentang rasional disebalik adat tersebut.

Menurutnya, disebabkan kesombongan jin itulah mereka berani minta kita berikan bermacam sajian seperti sembelihan lembu, kambing, ayam dan lain-lain. Amalan itu adalah syirik dan khurafat semata-mata.

Tan Sri Harussani Zakaria

Mendengar nasihat serta penerangan beliau, Sultan Azlan bersetuju amalan Tabal Jin dimansuhkan dari istiadat Istana Perak. Ia digantikan dengan Tabal Pusaka yang mana sekadar diiringi paluan nobat iaitu alat kebesaran dan dijirus air mawar serta tiada mantera yang digunakan.

Malah adat pemakaian perhiasan emas yang berbentuk ular juga dimansuhkan.

Saya beritahu kepada Sultan, pada zaman Firaun menjadi raja dahulu, dia memakai perhiasan sedemikian kerana ular itu lambang tuhan mereka, sebab ular membunuh orang,” kata Harussani.

 

Akibat cabar jin, peha Harussani membengkak? 

Demi menghapuskan amalan khurafat di dalam istana, pada satu malam Harussani telah meminta pegawai istana untuk menunjukkannya di mana tempat yang dikatakan mempunyai jin di dalam istana tersebut.

Mereka telah menunjukkan sebuah kerusi yang didakwa menjadi tempat duduk jin dalam istana.

Kerana mahu menghapuskan khurafat, Harussani telah mencabar jin tersebut untuk tunjukkan diri dan duduk di atas kerusi itu. Pada ketika itu tiada apa-apa yang terjadi sehinggalah beliau pulang ke rumah dan mendapati pehanya bengkak menggelembung secara tiba-tiba.

Harussani Zakaria 0609 3

Selepas solat subuh, Harussani bertanya kepada jemaah di masjid kalau mereka tahu mana-mana orang yang pandai tentang ilmu berkaitan jin.

Jemaah memberitahu tentang seorang tukang gunting tua di Sungai Rokam. Beliau pergi bertemu dengan lelaki itu dan sambil menggunting rambut, beliau bertanya mengapa kakinya bengkak secara tiba-tiba.

Tukang gunting itu meminta saya bawakan sirih-pinang. Saya sememangnya sudah bersedia dengan bahan itu sebab telah tahu serba sedikit tentang permasalahan dengan jin,” kata Harussani.

Keesokannya ketika berubat, tukang gunting itu bertanya, mengapa Harussani begitu berani mencabar jin? Dia kemudian meniup ke dalam telinga Mufti dan dengan sendirinya bengkak itu hilang.

 

Masih ada lagi adat-adat lain yang dikekalkan sehingga sekarang 

Bagi Harussani, ada satu lagi amalan yang dia belum berjaya hentikan iaitu adat ‘perasap keris’ yang sering dilakukan kepada alat-alat istana seperti keris, tombak, perkakasan diraja dan alat kebesaran diraja yang berpindah tangan daripada sultan mangkat kepada sultan baru.

62259743 2392569141000111 1637045884589965312 N

Pun begitu, amalan yang dibenarkan seperti ‘Istiadat Mencecah Kaki di Beting Beras Basah’ dan ‘Istiadat Mengambil Air Bersiram Tujuh Kuala Sungai Perak’ antara yang dibenarkan dan masih diamalkan sehingga sekarang.

Baginya perbuatan tersebut hanyalah simbol Sultan Perak pertama mencemar duli di beting tersebut dan bagi istiadat 7 air kuala pula, ia melambangkan 7 kuasa daerah di Perak suatu masa dulu menjadi sempadan negeri, lapor Harian Metro.

Beras1.Jpg 1529995435

Apa-apapun perkara yang dilakukan oleh Allahyarham ini ternyata suatu yang sangat berani dan patut menjadi teladan kepada kita semua supaya menolak perkara khurafat dan syirik yang diamalkan sekian lama hingga menjadi darah daging orang Melayu zaman sekarang.

Semoga iman kita sentiasa kuat dan meletakkan kepercayaan kepada Allah SWT. Takziah dan Al Fatihah atas pemergian Allahyarham TS Dr Harussani Zakaria. 

Sumber: Soscili, Memoir Harussani Zakaria: Dia Akan Jadi Mufti, Harian Metro

Baca: Al-Fatihah, Mufti Perak Tan Sri Haji Harussani Zakaria Meninggal Dunia Akibat Covid-19

4Mufti

Sumber: The Star
Sumber: FMT
Sumber: Malay Mail

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.