The Arab Spring merujuk kepada siri kebangkitan rakyat di negara-negara Timur Tengah yang bermula dari Tunisia, Morocco, Syria, Libya, Mesir dan Bahrain. Kebanyakannya menuntut hak untuk pemerintahan berdemokrasi dan menuntut supaya pemerintahan kuku besi dihentikan.
Namun apa yang menarik mengenai Arab Spring ini ialah punca tercetusnya ia berlaku. Hanya disebabkan oleh seorang penjaja buah yang miskin, Mohamed Bouazizi, 26 tahun.
Berhenti sekolah untuk sara keluarga
Mohamed Bouazizi adalah seorang penjaja buah tepi jalan. Dia telah berhenti sekolah sebelum masuk ke sekolah menengah semata-mata untuk menanggung lapan orang keluarganya.
Dulu, pakciknya ada beli sebuah ladang kecil di R’gueb, berdekatan dengan Sidi Bouzid, tapi ladang itu terpaksa ditutup kerana korupsi dalam peruntukan tanah ladang mereka.
Disebabkan itu, Mohamed terpaksa balik ke Sidi Bouzid untuk mencari rezeki dengan menjual buah-buahan dan sayur sayuran di jalanan.
Untuk pengetahuan, jualan cara menjaja adalah tidak dibenarkan di Tunisia”
Jadi, pihak berkuasa tempatan di situ kerap menyita jualannya yang dibawa menggunakan kereta sorong. Kereta sorong kecik tu pun kerajaan dia nak rampas, dahlah dia orang susah.
Bukan Mohamed tak tau benda yang dia buat tu salah di sisi undang-undang, tapi memang dia terpaksa dan terdesak.
Berhutang semata-mata untuk beli barang jualan dan kitaran ini berulang.”
Bayangkan, korang berhutang untuk mencari secebis rezeki yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bila barang jualan disita, terpaksa lagi berhutang, dan perkara ini berulang. Hutang bertambah tapi kena pastikan makanan terhidang di meja untuk keluarga.
Hutangnya sebanyak 200 dolar. Nampak sikit, tapi banyak untuk orang susah sepertinya.
Tekanan memaksanya membakar diri sendiri
Pagi Jumaat, 17 Disember 2010, adalah hari terakhir polis boleh merampas jualannya beserta pakej tamparan di muka.
Dalam keadaan marah dan terdesak, dia telah pergi ke ibu pejabat daerah untuk membuat rayuan mengenai kesnya ke gabenor namun tidak dilayan dan dihalau keluar.
Tak dapat menahan diri, Mohamed Bouazizi telah membeli 2 botol cat thinner lalu membakar dirinya sendiri di hadapan bangunan tersebut pada hari yang sama. Dia dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia pada 4 Januari tahun kemudian.
Tercetusnya ‘Jasmine Revolution’
Kisah kematian Mohamed telah ditularkan di internet secara meluas dan protes besar-besaran pun bermula di seluruh Tunisia. Besarnya protes ini sehingga memaksa Presiden Zine El Abidine Ben Ali untuk turun takhta setelah memerintah selama 23 tahun! Dan lari ke Arab Saudi.”
Beliau meninggal dunia semasa menjadi pelarian di Arab Saudi. Kejatuhan empayar beliau dinamakan sebagai Jasmine Revolution.
Kisah pengorbanan Mohamed Bouazizi ini telah tular ke negara Timur Tengah yang lain dan menjadi inspirasi buat mereka di mana perang sivil bermula dari satu negara ke satu negara yang lain.
MACAM VIRUS.
Kesan Arab Spring
25 Januari 2011 : Protes besar-besaran yang pertama berlaku di Tahrir Square, Kairo, Mesir.
Februari 2011 : Beberapa negara Pro-Muslim lancarkan ‘Days of Rage’ untuk menentang kerajaan diktator dan menuntut demokrasi.
11 Februari 2011 : Presiden Hosni Mubarak turun takhta.
15 Mac 2011 : Protes Pro-Demokrasi bermula di Syria
22 May 2011 : Beribu orang dipukul oleh polis semasa protes di Maghribi
1 Julai 2011 : Pengundi Maghribi terima perubahan konstitusi yang mengehadkan kuasa monarki negara.
20 Ogos 2011 : Libya pula bangkit menentang kerajaan mereka untuk ambil alih Tripoli.
23 September 2011 : Pro-demokrasi di Yaman buat ‘Million Man March’, sebuah protes besar-besaran.
20 Oktober 2011 : Diktator Libya, Kolonel Muammar Qadaffi ditangkap oleh pemberontak dan dibunuh dengan kejam.
23 Oktober 2011 : Untuk pertama kali, Tunisia buat pilihan raya.
28 November 2011 : Mesir juga untuk pertama kalinya buat pilihan raya untuk membentuk parliamen.
Ada negara yang berjaya menuntut demokrasi namun ada yang menjadikan keadaan negara makin teruk. Seperti yang berlaku di Yaman, perang saudara masih berlaku dan rakyatnya sangat terseksa. Ramai yang mati kelaparan kerana sekatan dari negara jiran telah menyebabkan sumber makanan mereka tak boleh dibawa masuk dan semakin berkurangan.